Ahmadinejad lawat Lubnan, Palestin Tuntut Sempadan

691

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/08/ahmadinejad.jpgBeribu-ribu rakyat Lubnan menyambut ketibaan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad di bandar Beirut semalam. Sebahagian daripada penduduk itu membaling bunga ke arah konvoi Presiden itu.

Mahmoud melakukan lawatan itu ke Lubnan semasa ketegangan memuncak di antara pergerakan Hezbollah yang disokong Iran dengan parti yang disokong negara-negara Barat dalam pentadbiran negara berkenaan.

Krisis yang semakin memuncak itu meningkatkan kebimbangan mengenai nasib Kabinet campuran yang ditubuhkan menerusi kerjasama antara Hezbollah dan parti yang disokong negara-negara Barat.

Presiden Iran itu tersenyum semasa beliau melambaikan tangan ke arah orang ramai dari bumbung sebuah kereta yang dikawal sekumpulan anggota-anggota pasukan keselamatan.

“Mahmoud telah banyak membantu Lebanon. Kami berada di sini untuk mengucapkan terima kasih,” kata seorang pelajar jurusan kejuteraan, Fatimah Mazen yang berusia 18 tahun.

“Beliau tidak menguasai Lubnan. Setiap orang mempunyai pemikiran dan boleh berfikir. Kami berada di sini untuk bersama dengannya pada waktu sukar (perbalahan politik di Lebanon,” tambahnya.

Kebanyakan majlis sambutan ketibaan Mahmoud dianjurkan oleh Hezbollah.

Sementara itu, pihak berkuasa Palestin, semalam menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Israel supaya menggariskan sempadan negara Yahudi selepas Washington menyarankan rundingan damai diteruskan semula.

“Kami secara rasmi menuntut pentadbiran AS dan kerajaan Israel menyediakan peta sempadan negara Israel yang ingin diiktiraf,” kata pegawai kanan Palestin, Yasser Abed Rabbo.

Kenyataan Yasser dibuat selepas Jabatan Negara AS meminta Palestin memberi cadangan balas kepada tuntutan Israel agar ia diiktiraf sebagai pertukaran negara Yahudi itu melanjutkan pembekuan penempatan haram.

Bagaimanapun, Palestin menolak tawaran itu dengan berkata, pengiktirafan terhadap negara Israel tidak mempunyai kaitan dengan proses rundingan damai.

Mereka menuntut pentadbiran AS menetapkan sempadan pada 1967 bagi memulakan rundingan untuk menentukan sempadan negara.

“Kami mahu tahu sama ada tanah kami dan kawasan kediaman di Tebing Barat serta timur Baitulmaqdis termasuk dalam negara Israel,” kata Yasser merujuk kepada tanah Palestin yang dijajah dalam perang enam hari pada 1967.

“Jika peta sempadan ini berdasarkan sempadan 1967 dan menamatkan penjajahan Israel terhadap bumi Palestin…maka kami akan mengiktiraf negara Israel tidak kira apa pun juga nama yang akan diberikan ke atas negara itu selagi ia menepati undang-undang antarabangsa,” tambah Yasser lagi. – AFP