Ahmad Razif Diyakini Tidak Kekal Lama- Dato’ Mustafa Ali

1487

KUALA TERENGGANU – PAS berpendapat Ahmad Razif tidak akan kekal lama sebagai Menteri Besar Terengganu setelah Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesarannya.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali berkata dari segi moral seseorang apabila Sultan menarik balik gelaran darjah kebesaran ianya membawa implikasi yang besar.

Menurut beliau, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan moral seseorang sekaligus menjejaskan imejnya.

Katanya, bagaimana kerajaan boleh berjalan dengan baik jika hubungan seorang Menteri Besar dengan Raja yang memerintah negeri tidak harmoni.

“Apabila Tuanku Sultan (Mizan Zainal Abidin) tarik balik gelaran (darjah) yang diberi kepada seseorang itu. Dia mempunyai implikasi yang besar sebenarnya dari sudut politik.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana seseorang Menteri Besar itu dilantik dengan perkenan Tuanku (Sultan).

“Ertinya, ada sesuatu yang tidak kena dan hubungan sudah tidak jadi baik. Jadi macam mana sesebuah kerajaan boleh berjalan di mana hubungan seorang Menteri Besar dengan seorang Raja yang memerintah, yang berdaulat dalam negeri itu tidak harmoni, tidak baik.

kam3498(b)-mustafa2“Kerajaan tidak boleh berjalan dengan stabil,” jelasnya dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Media, Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu pada Sabtu 30 April.

Justeru, Dato’ Mustafa juga tidak yakin Ahmad Razif boleh kekal lama sebagai Menteri Besar Terengganu kerana kerajaannya kurang majoriti.

“Mahu tidak mahu sebagai seorang manusia yang ada moral, tidak ada jalan lain (melainkan) kena buat sesuatu (letak jawatan). Saya tidak fikir dia (Ahmad Razif) akan boleh terus dengan keadaan yang sedemikian rupa.

“Majoriti parti (Umno) yang memerintah sekarang ini terlalu tipis. 17 kerusi asalnya, ditolak dengan Adun Kijal (Ahmad Said) tinggal 16 kerusi. Sebab, 16-16 (kerajaan dengan pembangkang) menjadikan kerajaan telah hilang majoriti,” tegasnya.

Sehubungan itu, kata mantan Exco Kerajaan PAS Terengganu itu partinya tidak akan bersama dengan Umno membentuk kerajaan baharu atau Unity Government (UG).

“PAS tidak memilih untuk membentuk kerajaan atau Unity Government (UG) dengan Umno dan tidak mungkin akan berlaku, itu pendirian yang diambil oleh PAS.

“Saya lihat PAS Terengganu ini bersedia untuk menghadapi pilihan raya. Jadi saya selaku Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, kena tengoklah sejauh mana tahap persediaan PAS negeri untuk pilihan raya.

“Persiapan tetap ada (ke arah) untuk PAS Terengganu menghadapi sebarang kemungkinan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak,” ujarnya pada sidang media itu yang turut dihadiri Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Ayob Mamat.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zinal Abidin bagi membincangkan isu mengenai kedudukan Menteri Besar.

Keputusan itu mengekalkan Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu meski pun darjah kebesarannya dilucutkan oleh Sultan Terengganu.

Sultan Terengganu telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuatkuasa 22 April lalu.