Oleh KAM
SETIU – Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik menegaskan ahli politik jahil agama akan melemahkan umat dan terpedaya dengan dakyah musuh.
Oleh itu, katanya ‘orang agama’ kena terjun dalam politik, kena terlibat dalam parti dan di negara ini tidak ada lagi parti Islam yang berteraskan al-Quran dan Hadis selain dari PAS.
“mereka (orang agama) kena jaga perjalanan politik supaya tidak salah sasaran dan tidak salah liku-liku perjalanannya.
“Ada orang terpengaruh dengan musuh yang mendakwa politik itu kotor. Ini dakyah musuh Islam.
“Dia (musuh) berjaya melahirkan ahli politik yang jahil agama dan ahli agama yang jahil politik. Kedua-dua itu akan melemahkan umat,”jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Wacana Kitab Musolli di Madrasah Ad-Diniah Kampung Langkap Baru, di sini pada Sabtu 24 Oktober.
“Alim ulama’ kena peka dan tahu perjalanan zaman, kena tahu isu-isu semasa yang berlaku hari ini dan tidak boleh ‘pekak’.
“Ulama’ kena tahu isu-isu semasa dan perkembangan dunia semasa hari ini kerana Islam penyelesaian masalah umat.
“Ulamak juga merupakan doktor ummah. Sebab, orang paling dekat dengan masyarakat adalah ulama’ dan jika lihat masyarakat jahil kita kena betulkan mereka ,” jelasnya.