Ahli Parlimen PAS Berdiri Teguh Menyokong Rang Undang-Undang Persendirian Syariah

1441

Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan syariah Islam yang akan dibawa oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dimasukkan dalam kertas perintah Parlimen semalam.

Rang Undang-Undang itu adalah bertujuan untuk meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 itu sekiranya diluluskan akan memberi laluan kepada undang-undang syariah termasuk Hudud dan Qisas dilaksanakan di Kelantan dan lain-lain negeri.

Bagaimanapun, ia berada pada senarai ke-24 dan yang terakhir dalam aturan mesyuarat parlimen tersebut.

MAHFUZ 1Masa yang berbaki membolehkan ia dibentangkan di parlimen adalah sehingga Khamis, apabila sesi semasa Parlimen akan berakhir.

Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Ketua Penerangan PAS Dato’ Mahfuz Omar berkata, walaupun begitu ia adalah bergantung kepada budi bicara Yang DiPertua Dewan Rakyat.

“ia bergantung kepada budi bicara speaker, kalau ia ingin mempercepatkan ia bergantung kepada persetujuan menteri untuk diangkat lebih awal, kita tunggu…..,”ujarnya.

Beliau percaya bahawa semua ahli-ahli parlimen Barisan Nasional akan menyokong rang undang-undang ahli persendirian, walaupun beberapa parti komponen pakatan telah menyuarakan pendapat berlainan.

Sehubungan itu, kesemua ahli parlimen PAS berdiri teguh di belakang Ustaz Hadi menyokong rang undang- undang yag akan dibentangkan itu.

Ahli Parlimen PAS dari negeri ini adalah terdiri daripada Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Datuk Raja Bahrin berkata, beliau menyokong hudud manakala Ustaz Mohd Khairuddin dan Ustaz Wan Hassan dalam kenyataan berasingan sebelum ini turut meminta ahli parlimen selain daripada PAS menyokong rang undang-undang tersebut.

khalidsamadUstaz Wan Hassan bahkan berkata, tiada alasan ahli parlimen tidak menyokong rang undang-undang itu.

“Usul Persendirian yang telah dihantar kepada Parlimen dan yang akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hanya Untuk Meminda Seksyen 2 Bidang Kuasa Jenayah, Akta Mahkamah Syariah 1965.

“Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Ustaz Abdul Hadi Usul yang akan dibawa beliau ke Dewan Rakyat berkait dengan pindaan jadual ke-9 355, berhubung dengan Enakmen Jenayah Syariah negeri Kelantan,”katanya.

Menurutnya, ia jelas tidak ada kena mengena dengan orang-orang bukan Islam di negara ini, dan Wan Hassan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan kekeliruan orang ramai.

“Oleh itu, tidak ada sebab kepada semua kawan-kawan saya di parlimen untuk menolak atau tidak menyokong usul yang amat baik ini,”tambah beliau.

Dalam perkembangan yang sama Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata rang undang-undang itu telah dikelirukan dengan Enakmen Syariah dan pelaksanaan hudud di Kelantan kerana kedua-dua telah diperdebatkan pada masa yang sama.