KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ucapan kemuncak, menutup Kongres Rakyat Negeri Terengganu (KRT) yang bakal berlangsung di Terengganu Equestrian Resort (TER) esok, 20 Ogos.
Speaker Kongres, Wan Zainuddin Wan Musa berkata, Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu dijangka mengulas isu berkait usul Rang Undang-undang pindaan Akta 355 yang dibawanya ke parlimen Malaysia, pada 26 Mei lalu.


“beliau bakal menyampaikan ucapan penutup kongres (dan) Tuan Guru adalah Ahli Parlimen yang membawa usul pindaan akta 355.
“Usul ini adalah bagi meninggikan martabat undang-undang syariah melalui perluasan bidang kuasa mahkamah syariah (dan) ini adalah antara isu utama dan terpenting yang akan diketengahkan semasa sesi perbahasan (Kongres),”jelas beliau.
Menurut Wan Zainuddin yang juga merupakan seorang peguam, lebih 500 orang peserta daripada 50 buah NGO di negeri telah mengesahkan kehadiran mereka ke Kongres tersebut.
Katanya, wakil-wakil dari 11 ‘kluster’ pelbagai isu akan membentangkan segala aspek permasalahan rakyat berserta membangunkan resolusi.


“Ia bakal mencipta sejarah kerana inilah kali pertama Kongres seumpama ini diadakan di Terengganu atas inisiatif dan sensitiviti seluruh NGO yang berkaitan,”katanya.
Belau berkata, acara akan bermula jam 8.30 pagi dan dijangka berakhir pada jam 2 petang.
Justeru itu, beliau menyeru seluruh rakyat negeri ini, tidak mengira latar belakang, bersama-sama menghadirkan diri.
“Luangkan masa anda bersama KRT……..Catatkan kehadiran anda sebagai sebahagian sejarah. Jadikan ia satu titik tolak ke arah kehidupan rakyat Terengganu yang lebih bermakna,
“Kongres Rakyat Terengganu yang merupakan rentetan Kongres Rakyat peringkat kebangsaan adalah paltform untuk semua rakyat Terengganu tidak kira siapa pun anda!,”tambah beliau.




























