Oleh : KAM
KUALA NERUS – Kesibukkan masa seorang pemimpin tidak menghalang Ahli Parlimen Kuala Nerus, Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyantuni 10 buah keluarga miskin.
Peluang yang ada itu digunakan sepenuhnya oleh beliau bagi bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan sempena musim tengkujuh ini.
Menurutnya, PAS sentiasa cakna dan prihatin kepada rakyat bukan hanya di musim-musim tertentu sahaja.


“Kita (PAS) selalu cakna dan prihatin dengan masalah rakyat bawahan tak tentu masa dan bukan hanya pada musim-musim tertentu sahaja.
“Cuma pada musim tengkujuh ini rakyat yang bekerja sebagai nelayan, penoreh getah, pengayuh beca susah sikit untuk bekerja. Atas dasar itu, mereka yang susah kita (PAS) bantu, Insya’Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas program ziarah pemimpin bersama masyarakat di Kampung Sekati, Dun Bukit Tunggal, baru-baru ini.
Menurutnya, 10 buah rumah dari kalangan keluarga miskin dan ibu tunggal di Kampung Pulau Sekati dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal dipilih kali ini.
Malah, katanya selepas ini lawatan dan sumbangan yang sama turut diagihkan di DUN-DUN yang lain dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus.
Tinjauan Harakah mendapati rombongan Ahli Parlimen itu hanya menggunakan motosikal kerana masalah jalan yang kurang baik.





























