Agensi Pertanian Pusat Jangan Bertindak Sendiri

20

KUALA TERENGGANU – Agensi kerajaan pusat dalam keluarga pertanian jangan bertindak secara berasingan tanpa memaklumkan atau melibatkan kerajaan negeri dalam pelaksanaan mana-mana program.

Pengerusi Lajnah Pertanian & Keterjaminan Makanan PAS Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata, keadaan itu berpunca daripada arahan pengerusi lembaga pengarah agensi berkenaan yang dilantik secara politik, menyebabkan kerjasama dua hala antara kerajaan negeri dan agensi pusat menjadi lemah.

“Setakat ini kita gunakan pendekatan memberi nasihat. Biarlah kita bekerja dalam satu pasukan menuju matlamat yang sama.

“Tak kisahlah siapa pun Pengerusi Lembaga kerana awak semua berpijak di bumi Terengganu. Kerajaan Negeri ingin membantu bagi memudahkan urusan,” jelas beliau dalam laman sosialnya semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Desa Terengganu itu menegaskan, kerajaan negeri tidak berminat mengejar “mileage politik murahan”, sebaliknya mahu membina hubungan kerja yang harmoni demi manfaat rakyat dan sektor pertanian negeri.

Menurutnya, hubungan agensi Persekutuan dengan kerajaan negeri sebelum ini amat baik dan saling membantu tetapi situasi berbeza pada zaman era madani.

Dr. Azman turut memaklumkan bahawa Terengganu antara negeri yang menyalurkan peruntukan terus kepada jabatan dan agensi persekutuan.

“Contohnya, kita salurkan sehingga RM5juta setahun kepada Lembaga Pertubuhan Peladang untuk dana Skim Pinjaman Modal Tani.

“Jabatan Perikanan Malaysia disalurkan melebihi RM4j setahun untuk program tukun, unjam, lepas benih ikan dan pelbagai program bantuan,” ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan program pembangunan pertanian di Terengganu dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.

“Bila Kerajaan Negeri nak ajak berbaik, bukannya kita nak minta duit. Kita ingin saling membantu dan memanfaatkan,” katanya lagi.