KUALA TERENGGANU – Agenda penyatuan ummah perlu terus diperkasakan dengan hikmah, saling menghormati dan berlapang dada demi membina kekuatan umat Islam selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Husain Awang berkata, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya perlu diurus dengan kebijaksanaan berasaskan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Tegasnya, seluruh ahli penyokong perlu untuk sentiasa menjaga adab serta akhlak dalam menerima apa jua keputusan pilihan raya.
“Jika dikurniakan kemenangan, janganlah bersikap sombong atau menghina pihak lain.
“Jika diuji dengan kekalahan, jangan pula berputus asa atau saling menyalahkan.
“Kemenangan adalah ujian daripada Allah SWT yang menuntut kita supaya lebih amanah, lebih merendah diri dan lebih bersungguh-sungguh dalam berkhidmat, manakala kekalahan pula menjadi tarbiah untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan serta terus istiqamah meneruskan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan kesyukuran kerana proses PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana aman, tertib dan lancar serta mengucapkan penghargaan kepada seluruh rakyat negeri itu yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang diberikan mandat oleh rakyat dan berharap amanah tersebut dapat dilaksanakan dengan penuh integriti, keikhlasan serta tanggungjawab demi kebajikan rakyat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas, jentera, sukarelawan dan penyokong yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian.
Jelasnya, pengorbanan masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit yang dicurahkan amat bermakna dalam memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan dengan lancar.
Penghargaan khusus turut beliau berikan kepada petugas PAS Terengganu yang sanggup bermusafir meninggalkan keluarga dan urusan masing-masing bagi membantu menjayakan gerak kerja pilihan raya di Negeri Sembilan.
“Semangat pengorbanan, disiplin serta keikhlasan yang ditunjukkan membuktikan kekuatan sebuah jemaah yang sentiasa bersedia berkhidmat apabila diperlukan.
“Semoga segala pengorbanan ini diterima sebagai amal soleh dan mendapat ganjaran besar daripada Allah SWT,” jelas beliau.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan kepada Negeri Sembilan serta seluruh negara, di samping memimpin semua pihak yang diberikan amanah supaya melaksanakan tanggungjawab dengan adil, jujur dan penuh integriti demi manfaat rakyat.





























