ADUN Pulau Manis Hantar Sumbangan Banjir

36

DUNGUN – Atas rasa simpati dan balas budi, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Pulau Manis, Pekan, Pahang sanggup turun bertemu mangsa banjir yang terjejas teruk sambil menyampaikan sumbangan.

Mohd Rafiq Khan Ahmad Khan berkata ketika negerinya dilanda banjir besar tahun lalu, PAS Terengganu telah mengerahkan seluruh entitinya untuk membantu mangsa – mangsa banjir di Pahang.

“Di DUN Pulau Manis sendiri, mereka bukan sahaja membantu membersih rumah malah bermacam aktiviti kebajikan untuk mangsa banjir dilakukan.

” Jadi masyarakat di DUN kami telah mengadakan kutipan untuk disumbangkan dalam bentuk barangan elektrik dan dapur gas untuk 15 keluarga mangsa banjir yang terjejas teruk di Kampung Padang Pulut dalam DUN Rantau Abang, Terengganu,” katanya.

Ahmad Rafiq yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pekan berkata demikian selepas program ziarah tersebut di Balai Raya Kampung Padang Pulut dekat sini pada ahad, 8 Januari lalu.

Beliau dan rombongannya yang terdiri daripada Kebajikan DUN Pulau Manis serta Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Indera Sempurna telah dibawa oleh ADUN Rantau Abang, Alias Harun serta Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Padang Pulut berkunjung ke rumah – rumah terbabit, mendengar dan melihat dari dekat kesan-kesan banjir yang dialami.

Dalam pada itu Cikgu Alias melahirkan rasa terharu diatas kesudian rombongan tersebut bersusah payah datang ke Padang Pulut untuk menyantuni mangsa banjir.

“Tambahan lagi ADUNnya dinafikan peruntukan seperti kita di ketika Barisan Nasional memerintah Terengganu tetapi bila PAS mengambil alih, walaupun Umno itu pembangkang, peruntukan tetap diberikan kepada wakil rakyat mereka, pada peringkat awalnya RM50, 000, kemudiannya RM 250,000,” katanya.

Sementara itu Ketua PAS Cawangan Padang Pulut, Cikgu Ariffin Yong berkata beliau sebagai mewakili penduduk Padang Pulut berharap dapat menjalinkan hubungan yang erat dengan masyarakat di DUN Pulau Manis.

“Sampaikan salam kami kepada mereka dan harapan kami program ini bukanlah yang pertama dan terakhir tetapi sebagai merintis jalan untuk hubungan yang akrab di masa akan datang,” ujarnya.