Oleh: Dr Azman Ibrahim
Semalam saya hadir menyampaikan ceramah bersama Pengerusi ANAK, Saudara Mazlan Aliman di Felda Gugusan Selendang, Rompin. Sebut saja kawasan Felda, saya gambarkan satu suasana lokasi ceramah yang tegang, mungkin cuma ada beberapa belas orang pendengar dan perjalanan majlis ceramah yang diganggu oleh samseng-samseng Umno Felda.
Tetapi ternyata semua tanggapan ini silap. Masuk sahaja melalui gerbang Felda, serta merta saya yang dalam keadaan letih dan mengantuk kerana dah masuk malam ketiga tak jumpa bantal bertukar menjadi ‘cerah mata’. Punca cerah mata ialah kerana melihat bendera bulan hijau putih yang menghiasi kiri dan kanan jalan masu kke Felda.
Wah! Ini sudah dikira hebat. Kalau dalam kawasan Felda, yang hijaunya bukan setakat daun kelapa sawit tetapi dihijaukan juga dengan bendera bulan, ini satu perkembangan yang menarik dan pemandangan yang menyegarkan mata. Dari segi kesihatan pun, memandang kepada pemandangan kehijauan adalah baik untuk mata.
Markas pilihanraya BN dan Markas PAS di dalam Felda ini terletak hanya bersebelahan antara satu sama lain. Tetapi markas yang berdekatan tak menjadi punca kepada ketegangan dan perbalahan. Nampak orang sini matang berpolitik.
Paling menarik apabila manusia kecik besar, tua muda, lelaki dan perempuan keluar beramai-ramai dengar ceramah. Kehadiran dalam 300 orang untuk satu ceramah umum pembangkang di kawasan Felda sudah boleh dikira sangat lumayan. Saya boleh mengesahkan bahawa yang hadir itu hampir keseluruhan mereka adalah masyarakat setempat Felda kerana tanah rancangan ini terletak jauh dari kawasan penempatan lain.
Saya menilai semua ini berdasarkan perbandingan dengan tanah rancangan Felda di kawasan saya. Huh! Nak pasang bendera dan nak buat ceramah umum pembangkang secara terbuka di Felda Selasih, Jabi? Mungkin peneroka Felda akan lari sembunyi dalam ladang kelapa sawit! Tak nak zahir bahawa mereka hadir dalam program pembangkang.
Kita juga jangan melupakan dengan fakta bahawa antara kawasan Felda yang menghalang ketibaan rombongan Kembara Oren Selamatkan Felda dulu ialah Felda Selasih! Elok juga kalau orang-orang Selasih buat rombongan mari jumpa dengan rakan sejawat mereka di sini dan belajar erti kemantangan serta meraikan perbezaan pegangan politik masing-masing.
Isu perumahan untuk generasi kedua Felda serta isu kejatuhan harga saham FGV ke paras yang sangat kritikal sehingga berdepan risiko akan dikeluarkan dari Papan Utama BSKL mendominasi isi ceramah Saudara Mazlan Aliman. Isu yang menyentuh kepentingan peneroka secara langsung ini diikuti mereka dengan penuh minat.
Sebenarnya mengikut seorang pimpinan PAS setempat, ada seramai 70 orang belia Felda Selendang yang akan mengistiharkan penyertaan mereka sebagai ahli PAS bersempena majlis ini. Tetapi pengistiharan ini ditangguhkan seketika kerana sedia dimaklumi akan kerakusan tindak balas Umno terhadap pengistiharan tersebut terutamanya dengan menggunakan kuasa duit bagi meraih semula sokongan pengundi memangkah dacing.
Saya bukanlah dilahirkan di tanah Felda sebagaimana Saudara Mazlan Aliman tetapi saya juga seorang anak tani yang menjiwai kehidupan masyarakat Felda. Mungkin saya lebih menyelami kehidupan sukar rakyat marhaen di Felda berbanding dengan Ahmad Maslan yang biasa berlakon menorah getah.





























