Abu Bakar Omar; Anak Seni Berfikrah PAS Dalam Kenangan

125

ABU BAKAR OMAR: ANAK SENI BERFIKRAH PAS DALAM KENANGAN.
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Kelibat beliau sering kelihatan di sekitar Markas Tarbiah Taman Melewar Kuala Lumpur terutama pasca reformasi. Allahyarham Abu Bakar Omar bukan orang asing dalam kelompok penyokong PAS, berlabun di warung kopi sambil bertukar pandangan politik dengan penyokong PAS yang lain.

Sejarah anak seni ini begitu berwarna warni, ramai yang mengkaguminya beraksi dilayar televisi dengan pelbagai watak , lakonannya yang bersahaja dan kelihatan merakyat . Tidak menghairan kerana anak kedah ini melalui pelbagai pengalaman meraih rezeki sebelum bergelar pelakon. Dalam dekad 1980an beliau berniaga ikan dan sayur di pasar , seawal jam empat pagi telah terpacak di pasar borong tapak PWTC sekarang untuk memilih ikan dan sayur.

Abu Bakar Omar membintangi filem pertamanya Tsu Feh Sofiah pada tahun 1981 bersama aktor Rahim Razali, seterusnya filem ‘ Bila hati telah retak’ pada tahun 1983, seterusnya dengan puluhan drama dan filem yang meletakkan beliau dalam kelompok anak seni yang piawai. Saya paling mengingati watak lakonannya dalam filem ‘ Fenomena’ sebagai lelaki separuh baya yang mengharmonikan anak- anak muda yang sedang menggelegak semangat untuk menentang budaya hedonisme yang dibawa oleh genre rock yang sedang menaufan tanahair kita dalam dekad 80an. Filem dengan tarikan pesona terbesarnya kemunculan kumpulan Search Serta Ramona Rahman. Allahyarham dalam dunia realitinya akhirnya bersama dengan parti Pak lebai yang banyak terlibat menentang budaya hedonisme, maksiat Dan kemungkaran.

Bapa kepada empat orang anak ini juga pernah mendapat pengiktirafannya dalam dunia seni, antaranya Anugerah Pelakon Pembantu terbaik Anugerah Skrin 1997, Pelakon Lelaki terbaik 1998, pelakon lelaki terbaik drama 1983 dengan drama ” Senja belum berakhir” serta pelbagai anugerah berprestij yang lain dalam bidang seni.

Sosok Abu Bakar Omar juga kadang muncul dalam pelbagai program PAS seperti ceramah umum , perarakan penamaan calon, sembang santai Dan lain- lain program . Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir pada pagi jumaat bulan Ramadhan yang mulia dalam usia 73 tahun. Disemadikan di tanah perkuburan Akar Peluru Jalan Pegawai, Alor Setar Kedah. Wataknya sebagai bapa yang bersuara garau akan terus diingati oleh kita semua, semoga bersemadi Aman.

( Penulis ialah Pengerusi Lujnah Kesenian Dan Kebudayaan PAS Pusat)