87 maut dalam serangan terbaru di wilayah Syria

521

Laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai di perkampungan AlKubeir, wilayah Hama itu, diterima sedang Amerika Syarikat menuntut peralihan penuh kuasa di Syria.

Tuntutan Amerika itu memperbaharui kebuntuan diplomatik setelah Russia dan China menyatakan tentangan keras terhadap sebarang campur tangan dan pertukaran rejim.

Russia dan China tetap dengan pendirian mereka walaupun negara-negara Arab dan Barat semakin lantang menyeru agar tindakan tegas antarabangsa diambil bagi menangani konflik di Syria.

Kumpulan hak asasi manusia, The Syrian Observatory for Human Rights, menganggarkan 87 penduduk kampung terbunuh dalam serangan yang berlaku kelmarin.

Jika laporan itu disahkan tepat ia merupakan antara insiden pembunuhan beramai-ramai yang paling teruk bagi tempoh 15 bulan sejak pemberontakan menentang rejim Assad bermula.

Semalam, pemerintah Syria menafikan bertanggungjawab atas insiden itu.

“Apa yang dilaporkan beberapa media tentang apa yang berlaku di Al-Kubeir di wilayah Hama adalah palsu.

“Sebuah kumpulan pengganas telah melakukan jenayah kejam di wilayah Hama yang meragut nyawa sembilan orang.

“Laporan-laporan media menyumbang kepada pertumpahan darah rakyat Syria,” kata pemerintah Syria dalam kenyataan yang disiarkan menerusi siaran televisyen.

Amerika menyokong usul negara-negara Arab untuk menggunakan Bab Tujuh Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun tidak menyokong peruntukan di bawah ketetapan itu bagi memulakan campur tangan ketenteraan.

Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, yang telah menyuarakan rasa kecewa terhadap pendirian China dan Russia, berusaha mendapatkan sokongan di Turkey.

Clinton telah bertemu para pegawai dari 16 negara serantau dan Eropah di Istanbul dan mengusulkan elemen serta dasar penting yang akan memimpin strategi peralihan selepas pemerintahan Encik Assad, termasuk peralihan penuh kuasa oleh Assad.

Namun, rakan sejawatan Cik Clinton dari Russia, Encik Sergei Lavrov, memberi amaran bahawa perubahan rejim di Syria akan membawa bencana ke Timur Tengah. – AFP.