80 Keluarga Terima Bantuan Pasca Banjir

245

DUNGUN – 80 keluarga di Kampung Syukur dan Pasir Raja menerima bantuan pasca banjir daripada Muslimat PAS Terengganu setelah banjir luar biasa menenggelam dua kampung berkenaan.

Naib Ketuanya, Zuraida Md Noor berkata 20 keluarga telah menerima tikar getah manakala selebihnya menerima barang keperluan harian dan wang tunai.

“Kita hantar dan pasang 20 tikar getah yang melibatkan tenaga dalam 30 orang iaitu Dewan Muslimat sendiri , daripada DUN Bandar dan Muslimat Kawasan Dungun,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan, Muslimat PAS Terengganu berkata demikian ketika ditemui seusainya Misi Bantuan Pasca Banjir Hulu Dungun di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di sini pada Selasa, 6 Februari.

Turut menyertai misi berkenan ialah Setiausaha Muslimat PAS Terengganu, Rahimah Muda dan Ketua Muslimat PAS Dungun, Khairiah Mokti.

Zuraida turut menasihati agar mereka sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

“Banyak yang perlu diuruskan, badan penat jadi jaga kesihatan, jaga keselamatan kerana rumah, ada lantai-lantai yang sudah tidak selamat, ada atap, dinding pecah, ini boleh membahayakan.

“Jika ada sebarang keperluan, kita ada JPKK , Pusat Khidmat Masyarakat, boleh buat aduan berjumpa JPKK yang telah dilantik kerajaan,jangan bertindak bersendirian. sekiranya banjir berulang jangan bertindak bersendirian, insya-Allah mereka boleh membantu,” jelasnya.
2
Sementara itu seorang penerima, Tengku Roslina Tengku Ariffin, 49 melahirkan rasa syukurnya diatas sumbangan tikar getah yang dapat membantu meringankan beban beliau sekeluarga.

“Memang banyak benda yang kita nak kena fikir, nak beli, sebab banyak barang rosak, rasa gembira sangat-sangat dapat tikar getah ni, mari tolong pasang lagi,” ujar ibu tunggal yang tidak dapat bekerja disebabkan kecederaan lengan dan hanya bergantung harap kepada dua anaknya menyara keluarga. .