500 Bot Sertai Perarakan Laut Semarakkan Himpunan Taufan Al-Aqsa

107

MARANG – Lebih 500 buah bot dan jetski dijangka menyertai Perarakan Laut Sempena Himpunan Taufan Al-Aqsa pada Jumaat ini (10 Oktober) bagi menzahirkan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan pembebasan Palestin.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Yusoff Abdul Hadi , berkata program berkenaan diadakan bersempena perjuangan umat Islam di bumi Palestin yang tidak pernah berhenti sejak rejim Zionis mula bertapak hingga ke hari ini.

“Perhimpunan dan perarakan bot ini diadakan bersempena perjuangan umat Islam di bumi Palestin yang bermula semenjak rejim Zionis bertapak di bumi itu sehingga sekarang.

“Ia juga bagi memperingati bulan Oktober yang menjadi sejarah hitam bagi Israel, apabila tercetusnya kebangkitan para pejuang Islam di bumi Palestin untuk memerdekakan Masjid Al-Aqsa dan tanah Palestin daripada penjajahan haram Israel.

“Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada umat Islam, khususnya rakyat di bumi Terengganu, untuk sehati sejiwa bersama mereka (Palestin),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ustaz Yusoff Abdul Hadi

Menurut beliau, perarakan akan bermula jam 3.00 petang dari perairan Marang menuju ke perairan Drawbridge, Kuala Terengganu, manakala peserta dijangka berkumpul di Pantai Batu Burok sekitar jam 4.30 petang.

Penganjur turut mengingatkan semua peserta agar memakai jaket keselamatan dan mengibarkan bendera Palestin sepanjang pelayaran sebagai simbol kebersamaan dengan misi kemanusiaan global Sumud Flotilla yang kini sedang berlangsung.

Bertemakan #SupportSumudFlotilla dan #FreePalestine, inisiatif maritim itu dijangka menjadi antara perarakan laut terbesar di pantai timur yang menggabungkan aktivis masyarakat, penggemar sukan air serta penduduk setempat.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan pengarah program turut menyeru orang ramai agar hadir memberikan sokongan moral di sepanjang pesisir pantai dan jeti bagi menyemarakkan semangat perpaduan ummah terhadap perjuangan pembebasan Palestin.