Hayati Semangat Sumud, Sokong Perjuangan Palestin

180

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyeru seluruh umat Islam agar terus menghayati semangat sumud (keteguhan dan kecekalan) serta menzahirkan sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin yang berdepan kezaliman rejim Zionis.

Ketuanya, Ustaz Muhammad Hamdi Harun, berkata demikian sebagai mengulas penganjuran Program Perarakan Bot “Taufan Al Aqsa” dan Raudhah Wira Sumud yang diadakan bagi meraikan kepulangan para wira misi kemanusiaan Sumud Flotilla serta memperingati perjuangan bersejarah umat Islam di bumi Palestin.

“Program ini menjadi simbol kebersamaan umat Islam dalam menzahirkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang sedang menentang kezaliman rejim Zionis.

“Perarakan bot ini membawa mesej yang mendalam bahawa gelombang perjuangan umat Islam tidak akan pernah padam.

“Walaupun laut memisahkan, hati umat Islam tetap berpadu untuk menegakkan kebenaran dan menolak kezaliman.

” Inilah roh sumud yang wajar dihayati oleh seluruh anak muda di tanah air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ustaz Hamdi turut menegaskan bahawa program berkenaan bukan sekadar acara simbolik, tetapi juga platform pendidikan jiwa anak muda agar memahami bahawa perjuangan membela Palestin adalah sebahagian daripada tanggungjawab aqidah dan maruah umat Islam.

“Anak muda mesti disedarkan bahawa perjuangan membela Palestin bukan sekadar isu luar, tetapi amanah besar yang menuntut kesedaran, tindakan dan doa berterusan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur yang memastikan program dijalankan dengan tertib, aman dan berdisiplin, serta menitikberatkan keselamatan semua peserta sebagai manifestasi solidariti yang berhemah dan berakhlak Islam.

“Pemuda PAS Terengganu menyeru seluruh rakyat, khususnya generasi muda, agar terus menyokong perjuangan Palestin melalui doa, infaq, pendidikan serta tekanan diplomatik yang berterusan terhadap kezaliman Zionis.

“Semoga semangat Taufan Al Aqsa menjadi inspirasi untuk memperkukuh keteguhan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia,” tambahnya.