415 Nelayan Rantau Abang Terima Sumbangan

36

DUNGUN – Seramai 415 orang nelayan di DUN Rantau Abang menerima sumbangan dengan melibatkan sebanyak RM460000 dalam memastikan kebajikan golongan itu sentiasa terbela.

Pengarah Majlis Tindakan DUN itu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata kerajaan negeri komited di dalam menjaga kebajikan nelayan, malah turut melabuhkan tukun tiruan serta menjaga kelestarian ekosistem laut sebagai usaha jangka panjang bagi memastikan sumber perikanan terus terpelihara.

“Pendekatan menyeluruh ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan nelayan, bukan sekadar bantuan bersifat sementara, tetapi melibatkan kelangsungan rezeki dan kesejahteraan masa depan komuniti nelayan, ”

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sumbangan Nelayan DUN Rantau Abang 2026 di Dewan Al Husna, Darul Ansor, Alor Mak Bah di sini pada 30 Januari.

Turut berucap ketika merasmikan program, Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli yang mengingatkan ibu bapa agar memastikan pendidikan anak-anak menjadi keutamaan.

“Pendidikan merupakan kunci utama membina generasi masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran ekonomi.

Katanya, generasi akan datang sepatutnya menjadi lebih baik daripada generasi sebelumnya, namun realitinya kini menunjukkan sebaliknya.

“Generasi terdahulu lebih gagah dan kuat kerana dibesarkan dalam zaman susah dan penuh cabaran, manakala perubahan kepada kehidupan yang lebih selesa telah menjadikan sebahagian generasi selepas ini lebih lemah dari segi daya tahan,” jelasnya.