40 Keluar Umno, Masuk PAS

1780

BESUT – Seramai 40 orang ahli Umno di Kampung Padang Luas Dalam Jerteh, telah keluar daripada parti itu dan menyerahkan borang keahlian kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Husan Awang.

Ketuanya Ahmad bin Mohd Nor berkata, beliau dan rakan-rakannya mengambil tindakan itu kerana melihat keadilan pemerintahan kerajaan PAS Terengganu.

“PAS tidak memilih warna parti dalam pengagihan bantuan terutamanya semasa Covid-19 melanda.

“PAS juga membahagi dana i-fitri kepada semua masyarakat tanpa memilih bulu sebagaimana yang pernah dibuat oleh kerajaan dahulu,” jelas beliau.

Ahmad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ceramah sempena penyerahan borang keahlian tersebut di sini semalam.

Selain itu katanya, perjuangan PAS yang ingin menegakkan pemerintahan Islam menarik minat beliau dan kawan-kawannya.

Turut berucap pada majlis itu ialah Naib Presiden PAS, Dato Mohd Amar bin Nik Abdullah dan Ketua Penerangan PAS Terengganu YB Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim.

Sehubungan itu, Setiausaha PAS Besut, Cikgu Shalahuddin Jaafar bersyukur kepada Allah yang telah memberikan taufik dan hidayahNya kepada Ahmad.

“Ceramah umum yang julung kali diadakan selepas pendemik dihadiri lebih 500 orang pendengar.

“PAS Besut akan menyusun majlis seperti ini di beberapa kampung lagi memandangkan ramai yang sudah hilang kepercayaan kepada Umno yang mengalami masalah kepimpinan.” Kata beliau.

Justeru kata Cikgu Solah, sekiranya gelombang ‘keluar Umno’ berterusan adalah tidak mustahil PAS Besut akan memenangi PRU15 dengan cemerlang.