Oleh: Dr Azman Ibrahim
“Kita tak boleh hidup selama-lamanya dalam keadaan takut kepada bayang-bayang orang lain. Sampai bila kita nak begini? Felda Selasih ada 158 buah rumah peneroka. 50 daripadanya adalah rumah orang PAS. Kita ramai tapi pakat takut nak tunjuk siapa diri kita sebenar. Sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk kita tubuh cawangan dan letak satu asas kepada perjuangan PAS di felda ni.”
Begitulah antara isi hati yang dizahirkan oleh sebahagian peneroka Felda Selasih dalam program pertemuan antara Jawatankuasa Majlis Tindakan Dun Jabi dengan peneroka Felda Selasih, Jabi semalam 9 November 2015.
“Lama doh hantu duk usik kita. Kita pun takut walaupun kita tak pernah tengok mana hantu tu. Jadi tak cerdik duk takut ko hantu.” Kata seorang lagi pemuda dengan berkias.
“Dalam pertemuan pertama kira-kira seminggu lepas, berita pertemuan tu kita masukkan dalam media dan akhbar. Ada tak apa-apa tindakan dari Umno?” Tanya saya sambil bergurau.
“Tak ada apa-apa tindakan pun. Senyap sunyi je. Adalah dengar jauh-jauh orang duduk bercakap hujung telinga.” Jawab seorang lagi pemuda anak peneroka Felda Selasih.
Itulah sedikit senario dialog yang saya gambarkan berlaku dalam pertemuan semalam. Ianya cukup memberikan satu gambaran bagaimana peneroka Felda Selasih yang merupakan Felda bongsu dalam negeri Terengganu sudah berjaya melepasi satu tahap penting dalam cara berfikir mereka. Tahap pemikiran yang selama ini dibelengu oleh momokan dan bayang-bayang Umno.
Lantaran kerana bayang-bayang yang sentiasa menghantui inilah, maka semenjak dari kewujudan Felda Selasih sekitar tahun 1982, pengundi felda ini sentiasa menjadi simpanan tetap kepada Umno/BN di Dun Jabi. Kita menyedari betapa kebalnya Umno berkubu di sini.
Berkali-kali cubaan kita untuk memecahkan kubu ini tak berhasil. Program Kembara Oren Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda pada tahun 2012 dihalang dengan kekerasan dari masuk ke Felda walau sekadar untuk singgah solat asar. Nak sewa gelanggang futsal di felda untuk anak-anak muda nak buat kejohanan futsal pun pernah dibatalkan tempahannya bila mengetahui bahawa ianya program pemuda PAS.
Dizaman PAS memerintah Terengganu pada 1999, saya pernah dihalang dari menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Felda. Sakit demam masyakat felda hanya dapat kita santuni secara senyap-senyap. Kita jumpa penggerak-penggerak felda di luar dari kawasan felda. Jumpa dengan anak-anak felda yang merantau jauh dari kampung halaman. Mereka adalah anak-anak yang berfikiran terbuka walaupun orang tua mereka di felda masih kukuh dengan parti keris.
Generasi baru anak-anak Felda Selasih ini menghadirkan momentum baru dalam perjuangan PAS di Jabi. Hasilnya semalam, buat pertama kali semenjak wujudnya Felda Selasih di atas muka bumi Malaysia, Jawatankuasa Penaja PAS Cawangan Felda Selasih berjaya dibentuk. Pembentukan ini adalah dengan kehendak dan kesungguhan masyarakat felda sendiri. Pimpinan Majlis Tindakan DUN Jabi membantu untuk merealisasikan hasrat mereka.
Ini adalah kejayaan besar kedua perjuangan PAS di felda ini khususnya serta di DUN Jabi amnya setelah kira-kira seminggu sebelum ini, Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI), sebuah NGO yang menghimpunkan anak-anak peneroka felda berjaya diletakkan asas pembentukannya di Felda Selasih.
Dua kejayaan berturut-turut ini sangat kita syukuri dan disambut dengan penuh rasa rendah diri serta dipohon keampunan kepada Allah atas segala kekurangan kita memikul amanah perjuangan ini. Lembaran baru ini akan dicorakkan dan diukir sebaiknya dengan acuan Islam dan dasar parti. Perhatian khusus akan diberikan oleh pihak Majlis Tindakan DUN Jabi kepada cawangan bongsu ini demi kelangsungan pergerakannya.
***Penulis ialah Pengarah Majlis Tindakan DUN Jabi.





























