350 korban gempa kuat di Pakistan

1265

Tentera Pakistan semalam berusaha memasuki dan menghulurkan bantuan ke tempat kejadian gempa bumi besar di wilayah Baluchistan yang telah mengorbankan lebih 350 orang dan memusnahkan ribuan rumah yang diperbuat daripada tanah liat.

Gempa sekuat 7.7 pada skala Richter itu menggegarkan daerah Awaran di Baluchistan – sebuah kawasan gurun berbatu yang saiznya kira-kira seluas Wales – lewat kelmarin.

Para pegawai berkata seramai 238 orang disahkan maut, dengan sebanyak 208 kes kematian adalah di daerah Awaran.

Perangkaan kematian itu dijangka meningkat sedang pasukan penyelamat mulai sampai ke lebih banyak perkampungan di kawasan terpencil itu.

“Sejumlah enam daerah – Awaran, Kech, Gwadar, Panjgur, Chaghi dan Khuzdar – dengan lebih 300,000 penduduk terjejas oleh gempa bumi itu,” kata Encik Jan Muhammad Buledi, seorang jurucakap bagi pihak pemerintah Baluchistan, kepada agensi berita AFP.

Ketua agensi pengurusan bencana wilayah itu, Encik Abdul Latif Kakar, memberitahu AFP bahawa 30 orang maut di daerah Kech, satu perangkaan yang disahkan oleh seorang pegawai kanan.

Encik Buledi berkata pasukan penyelamat sedang berusaha mencari mayat, tetapi keutamaannya ialah membawa mereka yang cedera ke hospital seberapa segera – satu tugas rumit dalam sebuah kawasan terpencil yang serba kekurangan prasarana.

“Kami sedang cuba memindahkan mereka yang cedera serius ke Karachi melalui helikopter dan penduduk lain ke daerah-daerah,” katanya.

Pihak tentera telah mengerahkan 100 kakitangan perubatan dan 1,000 askar ke kawasan tersebut bagi membantu usaha mencari dan menyelamat serta mendirikan sebuah pusat perubatan di Tarteej.

Lebih 60,000 orang tinggal dalam lingkungan 50 kilometer dari pusat gempa itu, menurut sebuah agensi pengurusan bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakannya dalam rumah-rumah yang mudah roboh – AFP.