MARANG – Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Saleh berkata Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mendasari perlembagaan parti merujuk kepada al-Quran dan Hadis merupakan kesinambungan kepada perjuangan Islam.
Beliau menyeru kepada ahli dan pendokong PAS agar menyayangi parti Islam kerana katanya, berada dalam saf perjuangan Islam merupakan satu amanah dan bukan pilihan semata-mata.
“Kita sayang kepada parti Islam, kita sayangkan perjuangan PAS. Kita tahu yang kita bersama dengan PAS ini untuk mempastikan Islam itu dijulang. Islam itu berada di puncak kegemilangan.
“Kita (PAS) adalah ‘mata rantai’ kepada perjuangan Islam yang merupakan satu amanah dan bukan pilihan kepada kita untuk berada dalam PAS ini,” tegasnya ketika berucap pada Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan di Dewan Tok Guru Masjid Rusila, Marang, 16 Jun.
https://youtu.be/R006Re_v8Pw
Menurutnya, sebagai seorang Islam yang beriman kepada Allah SWT mesti meneruskan perjuangan tersebut meski pun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.
Malah, kata beliau yang baharu menerajui Dewan Muslimat PAS Pusat bahawa perjuangan Islam mesti digalas dengan amanah, sabar serta bertanggungjawab kepada Allah SWT.
“Kita mesti meneruskan perjuangan ini walau pun terpaksa hadapi pelbagai cabaran dan rintangannya. Perjuangan ini mesti digalas dengan penuh amanah, kesabaran dan bertanggungjawab kepada Allah SWT.
“Kehidupaan ini hanya sementara dan perintah Allah supaya menegakkan perjuangan Islam mesti diteruskan walau pun apa halangannya.
“Yakinlah dengan janji-janji Allah dan RasulNya, Islam pasti akan menang. Saya seru kepada semua ahli dan kepimpinan parti (PAS) termasuk DHPP yang berada dalam PAS ini untuk meneruskan perjuangan Islam,” ujarnya.
Menurut Ustazah Nuridah, Muslimat PAS sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi cabaran tersebut demi kemenangan Islam pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.





























