Diari Musafir: Sebuah Misi Kemanusiaan

1427

Oleh : NHA

Bagaikan dikejut dari tidur yang nyenyak.. Itulah yang dapat diungkapkan ketika terpampang berita “Orang Hanyut” Rohingya yang tersadai di lautan beberapa bulan di media massa. Tiada siapa yang sudi menerima mereka menumpang berlabuh. Sudahlah pemergian mereka bagaikan ‘diraikan’ oleh tanahair mereka sendiri. Begitu hinakah mereka?

IMG-20150606-WA0155 (2)Menyedari saudara satu akidah diperlakukan sedemikian, jiwa kemanusiaan bagai meronta-ronta mahu membantu. Airmata mengalir mengenangkan nasib mereka tidak dapat ditahankan. Akhirnya, hajat itu dikabulkan Ya Bashir apabila misi kemanusiaan “Peduli Rohingya” bakal diadakan pada 6-10 Jun 2015 di Aceh.

Misi Peduli Rohingya ini disertai oleh beberapa badan NGO yang terdiri daripada pelbagai profesion iaitu Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Pertubuhan Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA), dan Ameerah Terengganu. Mereka menginfakkan harta, masa dan tenaga mereka untuk misi ini untuk menyebarkan keperitan hidup saudara Rohingya, serta menyampaikan sendiri amanah sumbangan rakyat Malaysia yang cakna akan nasib mereka. Ajaibnya, Rp. 135 juta berjaya dikumpulkan dalam masa singkat bagi menjayakan misi ini.

Pemergian para musafir ini bukan hanya menjenguk sedih saudara Rohingya di Aceh. Berbekalkan sumbangan yang dibawa, banyak bantuan yang berjaya disalurkan untuk jangka masa pendek dan panjang.

20150607_134630Seramai lebih 2000 orang Rohingya yang mendarat di Aceh Darussalam, sebuah wilayah autonomi yang erat memegang syariat Islam. Mereka ditakdirkan berlabuh di negeri yang aman itu, setelah jiran-jiran mereka tidak sudi menerima mereka berlabuh. Mujurlah bantuan makanan dihulurkan, dapat jua mengisi perut mereka yang kebuluran di tengah lautan. Kota Langsa, Lhokseumawe dan Temiang merupakan penempatan Rohingya di Aceh. Di Kota Langsa sahaja, lebih seribu orang Rohingya ditempatkan iaitu di Pelabuhan dan Bireun Bayeun.

Pada hari pertama di Aceh, rombongan misi telah meninjau Penempatan Pelabuhan dan Bayeun. Rombongan seramai 12 orang itu telah dibahagikan kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan ditugaskan meninjau Kem Bayeun, sebahagian ke Kem Pelabuhan, manakala beberapa orang lagi menguruskan makanan untuk diberikan kepada anak-anak Rohingya.

aceh5Didapati, kedua-dua kem tersebut amat padat dan kurang terjaga akan kebersihannya. Kesedaran berkaitan kebersihan masih kurang di kalangan mereka. Oleh kerana itu, pihak PAPISMA mengambil inisiatif mengadakan Program Penyuluhan, iaitu program kesedaran kebersihan bermula di Kem Bayeun. Mereka diajar cara menggosok gigi yang betul, serta diberi penerangan kepentingan menjaga kebersihan.

Di Kem Pelabuhan pula, rombongan misi sangat beruntung kerana dapat berjumpa dengan Wali Kota Langsa. Dari situ, mereka telah mendapat gambaran jelas keperluan pihak Aceh untuk menguruskan orang Rohingya tersebut. Telah disepakati, bantuan Barak (rumah panjang), keperluan siaraya untuk Mushalla dan rak ubat-ubatan amat diperlukan di Kem tersebut.

Di hari kedua permusafiran, rombongan telah menjelajah ke Utara Aceh iaitu Kem Lhoksukon di Lhokseumawe. Perjalanan mengambil masa 3 jam lebih dari Kota Langsa. Lebih 600 orang ditempatkan di Kem tersebut. Sementara itu, salah seorang peserta misi, Jabraan telah ditugaskan menguruskan pembelian kelengkapan untuk rak ubat dan barak. Selain itu, beliau ditugaskan untuk pembelian buah semangka (tembikai) dan buah jeruk (limau) untuk 3 hari untuk Kem di Kota Langsa. Besar kepercayaan yang diletakkan buatnya.

IMG-20150610-WA0132Di Lhoksukon, Ameerah memainkan peranan untuk mendekati muslimat Rohingya. Mujurlah Jamal Hussein, pemuda Rohingya yang fasih bertutur bahasa Melayu menjadi penterjemah ketika perjumpaan khas selama kira-kira 20 minit tersebut.

Muslimat Rohingya tidak lokek bercerita kisah pilu mereka, bersungguh-sungguh hingga mengalirkan airmata. Ada yang kehilangan anak yang dibakar, kehilangan suami dan keluarga. Ketabahan mereka begitu dikagumi. Hanya kata-kata semangat yang mampu kami berikan kepada mereka sebagai bekal untuk meneruskan hidup di negara asing.

Di hari ketiga, masa terasa begitu cepat berlalu. Hari terakhir ini digunakan sebaiknya untuk menyelesaikan segala misi dan amanah yang telah dirancang. Pagi bermula dengan Program Penyuluhan di Kem Pelabuhan, iaitu acara memandikan anak-anak Rohingya. Ada yang jakun bagaikan tidak pernah ketemu sabun dan tidak biasa mandi. Cabaran besar buat sukarelawan di kem tersebut untuk meneruskan misi kebersihan di situ.

IMG-20150611-WA0097Pada masa yang sama, 2 buah almari ubat-ubatan yang bernilai Rp. 2.9 juta telah diserahkan kepada Pusat Rawatan di situ di dalam suatu majlis penyerahan. Untuk projek siaraya pula, mikrofon sebanyak Rp.1.3 juta dan 5 gulung tikar solat berharga Rp. 3.2 juta berjaya juga diserahkan kepada Mushalla.

Tidak habis di situ, Rp. 1 juta juga diberikan kepada Pondok Assunni bagi menjalankan aktiviti keagamaan di Kem Pelabuhan. Mereka dipastikan bersolat jemaah setiap waktu. Pada masa yang sama, Ramadhan yang bakal menjelma mesti dirancakkan lagi bagi memberi pengisian rohani kepada orang Rohingya di sana.

Untuk kaum lelaki, kain sarung diberikan kepada mereka. Sebanyak 16 kodi sarung berharga Rp.15.004 juta dibeli untuk diagihkan kepada 3 penempatan semampunya. Paling mengagumkan, hampir Rp. 70 juta telah diperuntukkan untuk membina barak, dan bakal disiapkan secepat mungkin untuk keselesaan Orang Hanyut tersebut.

IMG-20150610-WA0023Keberkatan permusafiran ini amat dirasai. Bayangkan, tidak pernah lagi kami pening mahu habiskan semua duit sumbangan untuk selesaikan misi ini. Maklumlah, biasanya kami pening tiada kewangan yang mencukupi. Jutaan penghargaan juga buat teman-teman kami di sana yang banyak membantu permusafiran kami. Bambang Herman, Kiki, Mirza dan Amirul. Kalian dihantar membantu kami sebaiknya. Semoga Allah merahmati mereka.

Akhirnya, berakhir sudah misi ini di Aceh. Namun, tidak terputus begitu saja. Kami sekarang mengusahakan projek “Jejak Kasih”. Sungguh tidak menduga, ramai saudara Rohingya yang meminta tolong pihak kami untuk mempertemukan mereka dengan keluarga di Malaysia. Kami membuka bantuan pihak lain untuk membantu misi jejak kasih ini, terutamanya dari sudut perundangan. Semoga usaha kecil ini dapat menyerikan lagi hidup mereka.

Aceh.. Semoga negeri dan penghuninya sentiasa dipeliharaNya. Permusafiran seketika ini begitu membekas di hati. Semoga segala kebaikan dan kebajikan diterima olehNya. Semoga ketemu lagi Nanggroe Atjeh Darussalam!