299 Peneroka Felda Terima Suratan Hak Milik Tanah

190

KUALA TERENGGANU – Seramai 299 orang peserta Felda Neram Dua, Peringkat 1, 2 dan 3 di Mukim Bandi dan Hulu Jabor menerima suratan hak milik tanah tapak rumah dan ladang yang diusahakan selama ini.

Pengarah Majlis Tindakan DUN Air Putih YB Cikgu Abdul Razak Ibrahim berkata, sepatutnya jumlah keseluruhan peneroka terbabit yang menerima geran ialah 868.

“hari ni kita beri geran seramai 299, semuanya ialah 868, selebihnya kita akan usahakan secepat yang mungkin, dalam masa sebulan dua ini,” jelasnya.

Cikgu Razak Ibrahim
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hak Milik itu di Dewan Semai Bakti, Bandar Baru Cheneh semalam.

Menurut beliau, para penerima sangat sukacita kerana mereka mendapat hak yang tertangguh sejak lebih 30 tahun lalu.

Katanya, usaha mendapat geran tersebut telah dibuat sejak beliau dipilih menjadi wakil rakyat, empat tahun lalu.

“saya tak pasti mengapa mereka tidak mendapat hak milik lebih awal, tapi apabila saya menjadi wakil rakyat ramai peneroka yang datang jumpa minta selesaikan,

“bulan Julai 2018, saya mulakan usaha bertemu dengan pihak Felda dan melalui proses yang agak rumit,” katanya.