Oleh: Dr Azman Ibrahim
Saya mengikuti secara dekat babak demi babak perkembangan kes saman fitnah bekas calon PKR DUN Bukit Besi terhadap Presiden PAS. Selain dari tuan bunya badan, Shamsul Mohd Amin, YB Azan Ismail, ADUN Bandar saksi utama lain bagi pihak plaintaif ialah Akhbar Kosmo.
Akhbar milik Kumpulan Utusan inilah yang menyiarkan berita Presiden PAS menuduh calon PKR sebagai pengedar pil kuda. Asas kepada laporan ini jugalah yang diambil oleh Shamsul untuk menyaman Presiden PAS.
Perbicaraan telah masuk kali yang keempat tetapi saksi utama plaintaif iaitu Ketua Pengarah Akhbar Kosmo masih gagal hadir walaupun telah disapina dan dikeluarkan waran tangkap. Malangnya mengikut laporan media, waran tersebut gagal diserahkan. Soalnya ke mana ghaibnya Ketua Pengarah Akhbar Kosmo? Tak munasabah apabila riuh rendah satu Malaysia dengan kes panas ini, dia sebagai orang media ‘masih tak kabar’ mengikut istilah orang Terengganu.


Saya tak berminat untuk menghukum kerana Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Dato’ Mohd Yazid telah dilantik menjadi hakim bagi kes ini. Yang Arif Dato’ Yazid akan menghakimi perkara ini dengan seadilnya. Saya cuma menulis atas kapasiti sebagai pengiat media dan Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Terengganu.
Kita menekankan prinsip kebenaran, ketelusan dan keadilan dalam melaporkan berita. Setiap ketipan jari pada keyboard untuk menghasilkan sesuatu berita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Kita menekankan prinsip penyiaran berita dengan penuh wibawa dan bertanggungjawab. Bukan siar berita lepas itu sembunyikan tangan! Senyap sunyi atau istilah Terengganu ‘senyap dikk’!
Sekiranya pada hari perbicaraan seterusnya pada 7 Disember 2104, Kosmo masih gagal hadir maka ianya bukan setakat akan memalukan muka Shamsul tetapi dalam masa yang sama akhbar Kosmo akan dilihat sebuah akhbar murahan yang sangat tak berwibawa. Lempar batu sembunyi tangan, siar berita tak berani nak bertanggungjawab! Ianya amat memalukan KAMI sebagai ahli keluarga besar di kalangan penggiat media.
*** Dr Azman Ibrahim adalah Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen ( KAMI) Terengganu






























