Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Penentangan berdarah terhadap negara haram Israel tidak pernah berhenti kerana regim ini sentiasa dahagakan darah orang beriman seperti kes pembunuhan di Shabra dan Shatila, pembunuhan di Masjid Ibrahimi Hebron dan ratusan lagi kes pembunuhan kejam yang mewarnakan bumi ini dengan warna merah darah penindasan.


Ideologi perjuangan HAMAS dinyatakan di dalam perlembagaannya yang diisytiharkan pada 18 Ogos 1988. Antaranya ialah:


2)HAMAS adalah gerakan kemanusiaan yang mengambil kira toleransi Islam yang membenarkan penganut-penganut agama lain tinggal bersama masyarakat Islam.
3)Palestin adalah tanah Islam sejak turun temurun hinggalah hari kiamat. Ia tidak boleh dibelah bahagi atau diserahkan kepada pihak lain. Ia bukan milik mana-mana individu, pertubuhan ataupun raja dan presiden Negara-negara Arab. Ia adalah milik Islam yang mesti dipertahankan.
4)Jihad menentang kezaliman Yahudi adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan. Dalam hal ini, wanita yang keluar berjihad tanpa izin suaminya adalah tidak berdosa.
5)HAMAS menolak usaha melengah-lengahkan kemenangan seperti perjanjian damai, persidangan-persidangan dan sebagainya. Hanya jihad sahaja jalan penyelesaian bagi isu Palestin.
6)Kelompok wanita memainkan peranan besar dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin. Mereka perlu berperanan melatih, mentarbiah dan mendidik serta melahirkan generasi yang faham Islam dan berakhlak mulia serta bersemangat tinggi untuk membebaskan tanahair mereka.
7)HAMAS menghormati pandangan gerakan-gerakan Islam yang lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam. Ia juga turut menganggap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasir Arafat sebagai ‘sahabat’, tetapi menolak fahaman sekular gerakan itu.


Dengan menubuhkan HAMAS, rakyat Palestin yang selama ini tanpa arah yang jelas mencari jalan perjuangan, kini bergabung tenaga melakukan satu kebangkitan menyeluruh atau lebih dikenali sebagai INTIFADHAH. (Ibnu Ismail: 2004).
Peristiwa yang menyebabkan tercetusnya kebangkitan (intifadhah) ini ialah tindakan sebuah lori besar milik Yahudi yang sengaja melanggar dua buah lori kecil milik umat Islam menyebabkan 4 orang terbunuh dan yang lain cedera. Peristiwa ini adalah faktor sementara bukan faktor mutlak, kerana terdapat faktor-faktor lain yang meransang fenomena ini. Bermulalah intifadhah dan penentangan terbuka rakyat Palestin dengan melontar batu, membakar tayar di jalanan bagi menghalang kenderaan tentera Israel dan melempar Molotov Cocktail ke arah musuh. Rakyat Palestin gagal mendapatkan senjata api kerana sempadan negara ditutup dan dikawal ketat oleh pihak Israel dan Negara-negara Arab yang bersempadan namun gerakan HAMAS berjaya mendapatkannya secara sulit dan menyimpannya dalam gudang khas mereka seperti stor bawah tanah.
Bagi penduduk awam Palestin walaupun tidak memiliki senjata api, mereka keluar ke jalan-jalan raya melontar batu dan melastik pasukan tentera Yahudi. Bagi tentera Yahudi (dalam sejarah Yahudi adalah penakut, suka melakukan secara sembunyi: lihat kisah Rasulullah SAW dalam peristiwa Bani An-Nadhir pada bulan Rabiul Awwal tahun keempat hijrah), walaupun mereka tidak berhadapan dengan senjata api, namun batu-batu itu begitu menggerunkan mereka.


HAMAS terus gagah berdada dengan kezaliman regim zionis serta mendapat dokongan kuat ummah. Pimpinan mereka ramai yang telah menjadi syuhada seperti Sheikh Ahmad Yasin, Solah Syahadah, Dr Abdul Aziz Rantisi, Dr Nizar Abdul Kader Rayyan dan yang lain-lain. Harakah Islam yang berkubu di Gaza ini kini mencapai usia 28 tahun dan mempunyai hubungan akrab dengan seluruh gerakan Islam termasuk PAS. Nuansa perjuangannya jelas, akidah Islam mestilah menunjangi perjuangan dan tiada noktah henti sehinggalah dimerdekakan setiap inci tanah Palestin yang dijarah Zionis semenjak tahun 1948.
(Penulis merupakan AJK PAS Pusat dan juga AJK Lujnah Politik Pusat)





























