25 Pemuda UMNO Hadir Muktamar Pemuda PAS

7

KOTA BHARU — Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melakar kejutan apabila hadir memberikan sokongan pada sesi pembukaan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-67 yang berlangsung di Grand Riverview Hotel, pagi ini.

Seramai 25 orang delegasi daripada sayap pemuda UMNO berkenaan diketuai secara langsung oleh Ketuanya, Yang Berhormat Dato’ Dr. Akmal Saleh, sekali gus mencuri tumpuan kepimpinan serta para perwakilan yang hadir.

Pengarah Panitia Muktamar merangkap Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khidir Izaidin menyifatkan kehadiran kepimpinan Pemuda UMNO tersebut sebagai lambang keterbukaan anak muda rentas kepartian dalam memikirkan agenda yang lebih besar demi kemaslahatan ummah dan negara.

“Kalau anak muda boleh turun ke bendang bersama, insya-Allah banyak lagi perkara yang kita duduk bersama dan fikirkan bersama. Cumanya hari ini kita hanya ingin minta semua dalam satu pemikiran yang besar: apa terbaik untuk agama, bangsa, dan negara kita, perjuangan penyatuan ummah,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan.

Selain wakil Pemuda UMNO, persidangan sayap pemuda itu turut disertai pimpinan sayap pemuda parti komponen Perikatan Nasional (PN) lain termasuk Ketua Pemuda Bersekutu, Cikgu Faiz Rahman; Ketua Pemuda GERAKAN, Lee Boon Shian; serta Ketua Pemuda PEJUANG, Akmal Yusoff.

Majlis perasmian muktamar tahunan itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Yang Berhormat Dato’ Seri Ustaz Haji Tuan Ibrahim Tuan Man, di samping dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti, mantan Ketua Pemuda PAS Pusat, serta delegasi gerakan belia Islam antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Turki, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, dan Lebanon.