19 November Ulang Tahun Tragedi Berdarah Memali

29

OLEH: DR RIDUAN MOHAMAD NOR

19 November 2022 adalah tarikh PRU 15 yang bakal menyaksikan persaingan sengit pemuafakatan politik PN,PH dan BN dalam menguasai tampuk pemerintahan negara ini. PAS yang berada koalisi Perikatan Nasional sedang mara membadai gelombang kebangkitan rakyat. Dalam keterujaan pesta persaingan kuasa 19 November maka jangan dilupakan satu lagi peristiwa bersejarah 19 November 1985. Peristiwa berdarah yang menjadi mercutanda kezaliman terbesar regim penguasa negara ini terhadap PAS.

Dekad 1980an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat.Dasawarsa ini juga menyaksikan keghairahan anak muda untuk menyeru kerajaan melaksanakan tuntutan Islam, manakala regim bertindakbalas dengan tangkapan- tangkapan ISA.

Watak utama yang menjadi ikonik tragedi ini ialah assyahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli Libya. Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang . Ustaz Ibrahim berkerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.

Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat dikalangan masyarakat Utara Semenanjung. Beliau pernah bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1978 di DUN Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah pada tahun 1978 dan juga Pengerusi ABIM daerah Baling.

Suara pemuda PAS sangat vokal dalam dekad 80an, pada tahun 1984 , berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda PAS dibawah ISA , antaranya ustaz Abu bakar Chik, ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. UMNO kedah semakin gelisah dengan populariti Ustaz Ibrahim yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah dimana sahaja beliau dijemput.

Alunan plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung lokasi Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa di daerah agraria itu. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat , manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengistiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

Perintah berkurung telah dikenakan didaerah ini serta penangkapan ISA sekali lagi menyerkap para pengikut Ustaz Ibrahim Mahmud. Rentetan daripada itu juga sekatan kepada ceramah-ceramah PAS diseluruh negara, PAS berjaya menenangkan ahli-ahlinya yang gelisah. Manakala seluruh media arus perdana tak lelah menyudutkan PAS sebagai kambing hitam dalam tragedi ini.

Peristiwa Memali 35 tahun lalu tetap utuh bersemayam ditangkai hati kita yang cintakan kebenaran dan perjuangan Islam. Walaupun terabai di mahkamah dunia namun mahkamah akhirat pasti kezaliman ini disingkap tirainya yang berlapis-lapis. Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ikon perlawanan diantara hak dan batil, juga keteladanan dijalan dakwah yang penuh dengan hamparan mehnah dan ibtila’. Sosok pendakwah yang mengorbankan kesenangan hidup untuk menjadi lantera dalam kegelapan pekat kejahilan masyarakat desa Baling. ” Daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati bergalang tanah” frasa kata itu terpacul daripada mulut almarhum sebagai manifestasi menyintai kebenaran dan tidak akan bermanis muka dengan kebatilan.

Di antara mereka yang terkorban dalam tragedi ini ialah Ibrahim Mahmood, Ahmad bin Hassan, Syafie Dahaman, Abdullah Saman, [email protected] Ahmad, Hambali Mohammad Senang, Idris A. Kadir, Mohd Aroff Hasyim, Zamri Mohd Isa, Abdullah Yassin, Mohd Daud Kadir dan Ahmad Ismail.

Manakala anggota polis yang terbunuh ialah Insp. Azmi Hamzah, Sarjan Abd. Rahman Mat Noor, Konstabel Jaafar Sain dan Konstabel Mohd Suli Uthman.

Pihak polis telah menahan seramai 110 orang pengikut Memali (penyokong Ustaz Ibrahim) dalam penjara dan menahan 36 orang di bawah ISA serta ditempatkan di Kem Kemunting, Taiping mulai 22 Januari 1986. Di antara mereka yang ditahan ialah:

1. Razali Abd Kadir
2. Abd. Rahman Salleh
3. Hussain Yahya
4. Osman Salleh
5. Ishak Che Noh
6. Che Mid Che Teh
7. Shaari Ahmad
8. Elias Mahmood
9. Khatib Ibrahim
10. Tajuddin Osman
11. Ahmad Kadir
12. Abd. Hamid Omar
13. Zulkifli Ishak
14. Sobiri Hassan
15. Ramli Salleh
16. Zakaria Jusoh
17. Manas Abdullah
18. Sahimi Hussain
19. Zaman Mahmod
20. Abd. Rahim Awang Boh
21. Ishak Che Him
22. Azmi Jusuh
23. Abd Raof Ismail
24. Abd Rahim Husin
25. Abas Ibrahim
26. Md. Piah Abdullah
27. Ramli Che Mid
28. Abdullah Che Soh
29. Ahmad Ayub
30. Mat Hassan Salim
31. Zakaria Abd. Rahman
32. Jaafar Nayan
33. Mansur Othman
34. Azmi Salim

PAS dalam memperjuangkan tegaknya keadilan Islam sering menjadi mangsa perlecehan, penistaan ,intimidasi bahkan ditumpahkan darah penyokongnya seperti yang terjadi dalam tragedi Memali. Untuk anak-anak muda milineal, jika kamu melihat sokongan dan dokongan kepada PAS begitu membuak-buak maka hadamlah sejarah ini. Parti Islam ini dibina dengan pengorbanan ahli-ahli, dengan siraman airmata dan darah yang menjadi baja kepada kebangkitan PAS.
Tirai kezaliman regim tirani yang akan terus diingati oleh pencinta Islam negara ini, moga keadilan kepada mangsa-mangsa Memali dapat ditegakkan. Semoga 19 November 2022, PAS diberikan kemenangan oleh Allah, membimbing ummah ke medan siasah dan menguruskan tanahair yang tenat ini.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)