KAHERAH – Para penyokong Mohamed Morsi, presiden Mesir yang digulingkan, semalam mengutuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik John Kerry, selepas beliau berkata pihak tentera Mesir hanya mahu “memulihkan semula demokrasi” di negara tersebut dengan menggulingkan pemimpin Islamis itu.
“Apakah tugas tentera untuk memulihkan semula demokrasi?” tanya Gehad al-Haddad [Gambar atas], jurucakap kumpulan Persaudaraan Islam (Ikhwan) yang dikaitkan dengan Encik Mursi, dalam satu kenyataan.
“Apakah Setiausaha Kerry menerima Setiausaha (Chuck) Hagel untuk campur tangan dan menggulingkan (Presiden Amerika Barack) Obama jika protes besar-besaran berlaku di Amerika?
“Apakah pihak tentera Amerika membekukan perlembagaan dan membubarkan Kongres dan Senat? Bolehkan mereka melantik presiden yang hanya dipilih mereka?” tambahnya.
“Pihak tentera diminta campur tangan oleh jutaan dan jutaan rakyat, kesemuanya takut keadaannya menjadi huru-hara, menjadi ganas,” kata Kerry kepada Geo TV.
“Dan pihak tentera tidak mengambil-alih (pemerintahan), mengikut penilaian kami – sejauh ini. Untuk mengendalikan negara, ada pemerintah awam. Sebaliknya, mereka memulihkan semula demokrasi,” tambahnya.
Haddad menyifatkan ulasan Kerry itu “membimbangkan” dan menuduh pentadbiran Amerika “bersubahat dalam rampasan kuasa tentera”.
“Rakyat Amerika harus menentang sebuah pentadbiran yang mencemarkan nilai mereka dengan menyokong kezaliman dan pemerintahan diktator,” tambahnya.
Sebelum ini, Washington amat berhati-hati daripada menyifatkan penggulingan Morsi itu sebagai satu rampasan kuasa, yang boleh memberi kesan segera ke atas pakej bantuannya kepada pihak tentera Mesir.
Ulasan Kerry itu boleh disifatkan sebagai paling dekat mencerminkan pendirian Amerika terhadap penggulingan Morsi yang dilakukan buat kali pertama secara terbuka.
Semalam, para penyokong dijadualkan mengadakan perhimpunan besar-besaran, sedang pihak polis bersiap sedia untuk merobohkan khemah-khemah yang didirikan di Kahirah untuk memprotes terhadap penggulingan Morsi.
Ini sedang masyarakat antarabangsa merayu agar dielakkan pertumpahan darah. – AFP.