KUALA TERENGGANU – Seramai 135 pelajar telah diberkas selepas terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk kesalahan rogol, merusuh dan mencuri harta benda, tahun lepas.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 36 kes berbanding 99 tangkapan sepanjang tahun 2015.
Katanya daripada jumlah itu sebanyak 74 ditahan kerana terlibat dalam jenayah kekerasan manakala 61 lagi terlibat dalam jenayah harta benda.
“Bagi kesalahan merusuh, buli dan gaduh seramai 47 orang telah ditangkap sepanjang tahun lalu berbanding 26 orang pada tahun 2015…kita juga telah menahan seramai 26 orang lagi bagi membantu siasatan kes rogol, cabul kehormatan, bunuh dan ugutan jenayah,” katanya kepada Bernama di sini.
Sementara itu Rosli berkata seramai 22 pelajar juga telah ditahan sepanjang tahun lalu selepas terlibat dengan kesalahan narkotik di negeri ini.
Katanya seramai 12 orang daripada 22 pelajar terlibat dengan kesalahan dadah diberkas kerana memiliki dadah, sembilan positif dadah dan seorang terlibat dalam pengedaran dadah.
Katanya walaupun jumlah itu tidak membimbangkan dan masih terkawal namun pihaknya tetap memandang serius kes berkenaan terutamanya melibatkan pelajar sekolah.
Beliau berkata mejoriti pelajar yang ditahan itu berusia antara tujuh hingga 18 tahun.
Rosli berkata pihaknya turut memandang serius kesalahan trafik yang melibatkan para pelajar yang mana menunggang motosikal tanpa lesen dan insurans perlindungan.- BERNAMA