13 Pempengaruh Muslimat Perkukuh Gerak Kerja Digital

21

KUALA TERENGGANU – Seramai 13 Influencer Muslimat PAS berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi daripada Akademi Influencer PAS sebagai persediaan memperkukuhkan medan dakwah dan gerak kerja digital menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

Penyampaian sijil telah disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, diiringi Pengarah Akademi Influencer, YB Mardhiyyah Johari, manakala wakil pelajar, Nurul Jannah Nursaiful menerima sijil bagi pihak graduan.

Ustazah Nuridah berkata, usaha melahirkan lebih ramai influencer dalam kalangan Muslimat PAS amat bertepatan dengan keperluan semasa, khususnya dalam menyampaikan dakwah dan maklumat kepada golongan muda menerusi platform digital.

Menurut beliau, Muslimat perlu proaktif menguasai pelbagai platform media sosial agar mesej Islam dan maklumat kepada masyarakat serta pengundi dapat disampaikan dengan sebaiknya.

“Alhamdulillah, tahniah kepada semua. Ini sangat bertepatan dengan keperluan semasa, terutama untuk berdakwah dan menyampaikan maklumat kepada golongan muda.

“Kita mesti proaktif menguasai platform ini. Maklumat kepada pengundi khususnya mesti dikuasai dan disampaikan dengan sebaik-baiknya,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menambah, penguasaan media digital perlu dilaksanakan secara berhikmah dan selari dengan tuntutan Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 125 yang menyeru umat Islam berdakwah dengan hikmah dan nasihat yang baik.

Graduasi 13 Influencer Muslimat PAS itu bukan sekadar satu penghargaan, sebaliknya menjadi tanda kepercayaan dan harapan agar lebih ramai Muslimat tampil sebagai suara dakwah yang kreatif, berilmu dan berpengaruh di alam digital.

Mereka juga dijangka memainkan peranan dalam membantu memperkukuhkan gerak kerja penerangan dan komunikasi PAS menjelang PRU-16, khususnya dalam menyalurkan maklumat kepada pengundi melalui medium media sosial.

Usaha itu dilihat sebagai langkah penting Muslimat PAS untuk terus memperluaskan pengaruh, menyebarkan mesej Islam dan mendekati masyarakat dalam landskap komunikasi digital yang semakin berkembang.