DUNGUN – Walaupun banjir yang melanda kawasan Hulu Dungun pada tahun 2015, tidak begitu besar berbanding tahun sebelumnya, namun lebih 200 orang telah dipindahkan.
Hujan lebat yang turun berterusan pada 27 Disember telah mengakibatkan sebahagian kampung Pasir Raja, Besol Lama, Belimbing, Shukor dan Jongok Batu ditenggelami air.
Selaku Yang DiPertua PAS Dungun dan Ahli Parlimen sejak pilihan raya umum ke 13, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramly memikul amanah memberikan khidmat yang sebaik mungkin.
Pada banjir besar setahun lalu, beliau sendiri mendaki bukit dan memikul barang-barang dapur seperti beras, gula dan minyak masak untuk disampaikan kepada penduduk.
Meski pun terpaksa menyeberangi ‘lurah’ akibat jalan utama terputus disebabkan hakisan, beliau puas hati dapat menunaikan tanggungjawabnya.
“saya sendiri selaku Yang DiPertua PAS Dungun dan Ahli Parlimen akan mengambil perjalanan,
“untuk memastikan khidmat yang diberikan kepada masyarakat sebaik mungkin (dan) berada dalam tanggungjawab Ahli Parlimen,”tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sendiri bantuan beras dari rumah ke rumah warga Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor pada Khamis 31 Disember, yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Kuala Terengganu.
Menurutnya sebanyak 1,000 kilogram makanan asasi itu telah diagihkan kepada setiap rumah yang dilanda musibah dari kampung terbabit.
Selain itu, sebahagiannya kata beliau, telah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Belimbing dan Kampung Pelambor di Kuala Jengal.
Beliau mengucapkan rasa syukur kerana dapat menyampaikan amanah para penyumbang kepada mereka yang memerlukannya dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama dari Unit Amal kawasan serta daripada Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi.
“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih atas bantuan ( dan kerjasama) dari Unit Amal dan DUN Bukit Besi…….kita pada hari ini telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk yang terlibat,
“(sesungguhnya) kita ingin mengadakan satu hubungan yang baik sebagaimana usaha yang telah kita lakukan pada tahun sebelumnya,”jelas beliau.
https://youtu.be/VwqoEFuTd8o
Beliau berharap usaha terus diambil oleh pihak Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan serta Khidmat Malaysia dan Jawatankuasa Banjir PAS Kawasan bagi membuat persediaan dalam tahap ‘berjaga-jaga’ kerana musim tengkujuh belum lagi berakhir.
Bersama mengiringi Ustaz Wan Hassan menyampaikan sumbangan di kedu-dua kampung itu ialah Pengerusi MTD Bukit Besi Haji Ghazali Sulaiman dan Timbalannya Naraza Muda.










