100 Sukarelawan Khidmat Malaysia Dungun Siap Siaga

73

KUALA TERENGGANU – Seramai 100 sukarelawan Khidmat Malaysia Dungun daripada pelbagai agensi PAS telah siap siaga untuk digerakkan bagi menghadapi musinah banjir pada bila-bila masa, susulan ramalan Monsun Timur Laut (MTL) bermula 5 November ini sehingga Mac 2025.

Pengerusi Khidmat Malaysia Dungun Khairul Ismail berkata, persediaan itu turut dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Khidmat Malaysia, Jabatan Amal, Pemuda PAS, Ameerah dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Sukarelawan banjir Dungun kini dalam ‘mood’ bersiap siaga dan bersedia untuk digerakkan ke lokasi banjir serta menyampaikan bantuan yang perlu kepada mangsa terlibat.

“Sukarelawan dari segi persediaan banjir akan membantu bukan sahaja sebelum dan semasa, tetapi turut melibatkan pasca banjir seperti membersihkan rumah mangsa.

“Insya-Allah semoga dipermudahkan segala urusan buat semua sukarelawan banjir di Dungun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan Majlis Himpunan Sukarelawan Banjir PAS Dungun, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Incident Commander Khidmat Malaysia Dungun (KHIDMAT), Wan Hassan Mohd Ramli juga merupakan Ahli Parlimen Dungun.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.