1 Mei 2015 : PAS – Pekerja Allah Sayang

1930

Dengan izin Allah SWT, insha Allah Jumaat ini Malaysia akan menyambut Hari Pekerja bagi tahun 2015 dengan tema “Pekerja Sihat, Produktiviti Meningkat” sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

02. Tema ini selari dengan Islam seperti mana Baginda Rasulullah SAW sendiri begitu mengambil berat soal kesihatan khadam-khadam Baginda Nabi Muhammad SAW, begitu juga dengan Saidina Umar R.A pernah menjaga pembantu-pembantu beliau yang sakit.

03. Di Malaysia, urusan kebajikan pekerja telah termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP 1994) hasil idea ahli akademik di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Nasional (IKKPN 1992).

04. Menyedari beberapa kelompangan yang berlaku dalam dasar sistem melibatkan kebajikan pekerja ini, pelbagai usaha islamisasi telah giat diperkenalkan termasuklah model FACT – “Faith, Acting, Commending, Tolerating”.

05. Dasar keharmonian setiap pekerja juga dilindungi oleh Islam bagi mengelakkan para pelabur dan kapitalis menindas serta memerah tenaga pekerja-pekerja demi mengaut sebanyak mungkin keuntungan semata-mata.

06. Elemen “soft factor” yang turut meliputi urusan kebajikan spiritual pekerja juga diberi penekanan di dalam menjamin produktiviti negara sebagaimana yang dibentangkan dalam Persidangan Antarabangsa Pemikiran Islam pada tahun 2012.

IMG-20150429-WA010607. Hal ini adalah kerana di dalam Islam terdapat tiga bidang tugas utama seorang pekerja Allah sayang semasa waktu bekerja iaitu :

i. Hamba Allah SWT
ii. Pengamal Sunnah Rasulullah SAW
iii. Pekerja kepada Negara, Negeri mahupun Ummah

08. Biar apapun jenis pekerjaan kita, kita perlu berusaha menunaikan tiga tanggungjawab utama ini dengan “itqan”-tekun, tersusun dan teliti kerana kita percaya dan yakin dengan semangat serta suasana kerja inilah yang akan memberi jaminan keselamatan, penjagaan kesihatan selain peningkatan produktiviti baik kepada pekerja muslim dan bukan muslim.

09. Amanah masa sepanjang waktu bekerja hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin kerana setiap amalan kita ini akan dibalas mengikut apa yang telah kita kerjakan :

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (97)

“Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”. (Surah An-Nahl : 97)

10. Bagi pihak Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, saya ingin mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Pekerja 2015” kepada semua pekerja di Malaysia samada sektor awam mahupun swasta.

11. Terima kasih diatas kesungguhan usaha dan perkhidmatan terbaik dari anda, semoga mendapat keredhaan Allah SWT bagi pekerja-pekerja Muslim serta mendapat kesejahteraan hidup terutama kepada semua pekerja bukan Islam.

Selamat Hari Pekerja 2015 : Terima kasih – Thank You – Xie Xie – Nadri.

Pekerja Allah Sayang = Pekerja Cemerlang Duniawi Ukhrawi

Wallahu’lam.

Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh,
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Sesi 2013-2015,
Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP).

10 Rejab 1436 H,
29 April 2015.