Hiburan Anak Muda Perlu Patuh Garis Panduan Islam

343

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menekankan bahawa sebarang bentuk hiburan anak muda, termasuk program RXZ Members 7.0, perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan Islam yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Ketuanya, Ustaz Muhammad Hamdi bin Dato’ Harun berkata, pihaknya menyambut baik penganjuran RXZ Members 7.0 yang menghimpunkan ribuan peminat permotoran dari seluruh negara.

Namun, beliau menegaskan agar program tersebut berlangsung secara tertib, selamat dan tidak bercanggah dengan syariat.

“Islam tidak menyekat hiburan atau aktiviti anak muda

“Sebaliknya memandu arah tuju agar tidak melalaikan, merosakkan moral atau menjurus kepada perbuatan yang bertentangan dengan syariat,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru itu, beliau turut menyeru semua peserta agar menjaga disiplin, mematuhi undang-undang jalan raya dan menampilkan imej positif sebagai komuniti permotoran beretika.

Menurutnya lagi, hiburan yang dikawal dengan baik mampu membentuk jati diri generasi muda lebih bertanggungjawab kepada agama, masyarakat dan negara.

“Jadikan program ini medan silaturahim dan contoh bagaimana anak muda mampu berseronok dalam batas yang dibenarkan oleh Islam.

“Memartabatkan Syariah Islam dan membentuk jati diri generasi akan datang yang lebih bertanggungjawab terhadap agama,” tambah beliau lagi.