Hamid Karzai akui gagal beri keadilan kepada rakyat

711

Sejak kumpulan Taleban diguling pada 2001, masyarakat antarabangsa, yang dipimpin Amerika Syarikat, telah menyumbang berbilion dolar kepada Afghanistan.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pula mengerahkan 130,000 askarnya bagi mengawal keselamatan.

Encik Karzai berkata banyak kemajuan dicapai dari segi pentadbiran serta dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat, dan keupayaan pemerintah, parlimen dan mahkamah lebih baik berbanding 10 tahun lalu.

“Namun, apakah kita berada di kedudukan yang diidam rakyat? Apakah kita berada di kedudukan yang boleh menyembuh penderitaan dan kesakitan yang dirasakan rakyat Afghanistan, melalui kaedah yang diingini rakyat? Tidak.

“Punca rakyat Afghanistan di kampung-kampung, (malah) di bandar masih mencari keadilan melalui kaedah tradisional ialah pemerintah tidak upaya memberi keadilan itu atau menanganinya dengan segera.

“Dan kadangkala – saya berharap bukan dalam sebahagian besar kes – daripada mendapatkan keadilan, mereka sebaliknya dianiaya,” kata Encik Karzai.

Beliau menambah bahawa ekoran berlaku rasuah di mahkamah, ramai rakyat setempat lebih suka memilih sistem keadilan tradisional yang diadili majlis masyarakat daerah bagi menghuraikan pertikaian.

Badan hak asasi kemanusiaan, Human Rights Watch, berkata baru-baru ini kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan “para pendakwa raya dan para hakim golongan paling korup di Afghanistan”. – AFP.