Teruskan Agenda Dakwah dan Kebajikan

386

BESUT – PAS memperkukuh sokongan rakyat menerusi penerusan agenda dakwah dan kebajikan yang menjadi teras kekuatan parti itu mendekati hati dan jiwa masyarakat.

Menurut Naib Presiden PAS YB Datuk Ustaz Haji Idris bin Haji Ahmad, PAS bukan sekadar mentadbir dengan dasar dan polisi, tetapi turut memimpin jiwa rakyat melalui pendekatan dakwah berstrategi dan kebajikan yang menyantuni keperluan masyarakat.

Sehubungan itu, usaha penyebaran dakwah akan diperkasa ke semua lapisan masyarakat melalui masjid dan surau, platform media sosial, serta program kemasyarakatan di bawah seliaan JPKK dan institusi kerajaan.

“Namun, keberkesanan gerakan ini sangat bergantung kepada jentera dan tenaga penggerak yang menjalankan amanah.

“Justeru itu, peranan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), Unit Tubuh, JPKK termasuk Cawangan PAS
dan penjawat politik menjadi tulang belakang kepada keberlangsungan agenda dakwah dan kebajikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dalam ucaptama program Ijtimak kepimpinan PAS negeri Terengganu di Kota Putera Square, Kampung Raja, pada hari ini.

Menurutnya, peranan cawangan PAS di akar umbi, JPKK sebagai “duta dakwah dan agen kebajikan”, serta penjawat politik sebagai pemudah cara dasar negeri dilihat sebagai tunjang utama menggerakkan agenda ini secara berkesan.

“Penyelarasan jentera ini diyakini mampu mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap PAS dan memastikan aspirasi parti terus sampai ke hati masyarakat.

“Mereka melaksanakan dasar kerajaan, menyampaikan aduan rakyat, serta menggerakkan aktiviti keagamaan, belia dan wanita agar nilai-nilai Islam meresap dalam kehidupan harian,” katanya.