Kekuatan PAS, Syura dan Wala’

422

BESUT – Kekuatan dan kelangsungan perjuangan PAS terletak pada amalan Majlis Syura Ulama yang berpandukan al-Quran dan hadis, berbeza dengan parti-parti politik lain yang tidak memiliki prinsip sedemikian.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dalam perjuangan Islam, ketaatan kepada pemimpin yang soleh adalah suatu kewajipan, dan setiap ahli mesti menunjukkan kesetiaan (wala’) kepada keputusan yang telah dimuktamadkan.

“Kita boleh bermesyuarat, boleh beri pandangan. Tapi bila keputusan dibuat, walaupun tak sesuai dengan kehendak kita, mesti terima. Tujuannya untuk perintah negeri dan negara, bukan nak cakap di kedai kopi,” tegas beliau ketika berucap di Ijtimak Kepimpan PAS, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pemerintahan negara memerlukan pelbagai latar belakang kepimpinan dan kebijaksanaan yang melangkaui pengalaman mentadbir kampung atau organisasi kecil.

“Nabi SAW pilih pemimpin bukan semata-mata yang lama dalam perjuangan, tetapi juga yang baru, selagi mereka layak. Lihat sahaja Khalid Al-Walid, walaupun tidak dipersetujui Saidina Umar pada awalnya, tetapi Nabi angkat beliau jadi panglima kerana kelayakannya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli PAS agar tidak mempertikaikan pemilihan calon hanya kerana perbezaan pendapat atau kecenderungan peribadi.

“Kalau calon tak sesuai dengan kehendak kita, jangan lawan. Wala’ tetap kena ada. Kena sedar, ini bukan soal individu, ini soal jamaah dan amanah kepimpinan,” tegasnya lagi