BESUT – Ameerah Negeri Terengganu memberi tumpuan kepada pengukuhan dakwah berstrategi dan pembinaan kepimpinan Gen Z sebagai fokus utama bagi memastikan kesinambungan perjuangan Islam di negeri ini.
Ketuanya, Ustazah Sumayyah Zakaria, berkata langkah ini penting untuk memantapkan peranan wanita muda PAS bukan hanya sebagai jentera pilihan raya, tetapi juga sebagai agen pemikiran, pendidik masyarakat dan penggerak perubahan di lapangan.
“Gen Z memerlukan pendekatan dakwah yang inklusif, kreatif dan berstrategi. Mereka mahukan komunikasi dua hala, ruang ekspresi dan pendekatan yang menyentuh akal serta emosi secara seimbang,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, dakwah kepada generasi muda perlu menekankan aspek pendidikan, bimbingan dan kasih sayang, bukannya pendekatan menghakimi atau menghukum.
“Sebagai kepimpinan muslimat muda, Ameerah mesti menjadi jambatan yang menghubungkan generasi ini dengan perjuangan Islam, membina jatidiri yang mantap melalui tarbiah dan perkaderan yang berterusan,” ujarnya.

Di Terengganu, Ameerah memainkan peranan aktif menyampaikan mesej perjuangan melalui pelbagai platform, khususnya media sosial, program kebajikan dan aktiviti lapangan yang mendekati wanita muda.
Tambahnya, penyelarasan gerak kerja di seluruh peringkat akan terus diperkukuh agar setiap arahan pimpinan negeri diterjemahkan dalam bentuk program, latihan dan pemantauan berkesan.
“Fokus selepas ini adalah memastikan kekuatan media dakwah dimanfaatkan sepenuhnya, kesinambungan tarbiah terpelihara dan kesiapsiagaan menghadapi PRU16 terus dipertingkatkan,” katanya.
Sumayyah menegaskan, Ijtimak ini bukan sekadar pertemuan rutin, tetapi medan membina semangat juang, ukhuwah dan strategi baharu untuk melahirkan kepimpinan wanita muda yang berani, berprinsip dan berintegriti.
Beliau menyeru semua ahli Ameerah hadir dengan kesungguhan dan kesediaan memikul amanah perjuangan kerana masa depan Islam dan negeri Terengganu bergantung pada kebangkitan generasi muda hari ini.









