Rakyat Perlu ‘Senjoh’ Anwar Turun – Mohd Ammar

486

KUALA NERUS – Rakyat mesti berani dan tegas mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya melepaskan jawatan setelah terbukti gagal mentadbir negara secara berkesan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Ammar Abdullah berkata, tekanan rakyat itu ibarat menggoncang pokok nyiur agar “beruk” yang enggan turun akhirnya jatuh juga.

“Sekarang ini Anwar macam beruk panjat nyiur, susah nak turun. Jadi rakyat kena pakat goncang sama-sama bagi dia turun,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Pra Himpunan Turun Anwar di Komtaq, pada semalam.

Justeru itu, beliau.menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bangkit menyertai Himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai, sebagai isyarat jelas penolakan terhadap kepimpinan PMX yang disifatkan gagal mentadbir negara.

Menurut beliau, himpunan itu bukan sekadar satu bentuk desakan agar Anwar berundur serta-merta, tetapi lebih penting sebagai pencetus kepada gelombang kebangkitan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Bukan soal Anwar nak turun atau tidak, sebab dia memang teringin sangat nak jadi Perdana Menteri sejak dulu.

“Jangan harap dia akan turun sendiri. Tapi bila rakyat dari pelbagai latar belakang berhimpun besar-besaran, itu akan beri isyarat jelas bahawa masa beliau sudah tamat,” katanya.

Mohd Ammar berkata, himpunan itu adalah tindakan sah dalam sistem demokrasi, sekaligus menyampaikan mesej bahawa rakyat sudah muak dengan janji palsu serta kegagalan pentadbiran kerajaan perpaduan.

“Ini bukan soal suka-suka nak berhimpun, tapi satu bentuk tekanan moral dan politik supaya perubahan besar boleh berlaku dalam PRU nanti,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah ketentuan Allah SWT bagi membuka mata rakyat terhadap keupayaan sebenar beliau.

“Kalau dia tak jadi Perdana Menteri, sampai bila-bila orang akan ingat dia hebat. Tapi sekarang ini rakyat sendiri dah boleh nilai tiga tahun mentadbir, satu pun janji tak tertunai,” katanya.

Tambahnya lagi, kekecewaan terhadap Anwar tidak terhad kepada orang Melayu, malah turut disuarakan oleh masyarakat bukan Islam termasuk kaum Cina yang semakin hilang keyakinan terhadap kerajaan hari ini.

“Kita dulu pernah puji dia kononnya Menteri Kewangan paling hebat Asia. Tapi hari ini semua orang boleh tengok sendiri, cakap tak serupa bikin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua lapisan masyarakat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), golongan profesional, anak muda dan rakyat marhaen untuk turun bersama dalam himpunan tersebut.

“Himpunan ini bukan sekadar simbolik. Ia adalah permulaan kepada gelombang rakyat yang lebih besar demi menyelamatkan masa depan negara,” tegas beliau.