RM300 Juta Untuk Tangani Banjir di Kemaman

415

KUALA TERENGGANU – Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kemaman bernilai RM300 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kini berada di peringkat pra pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, YB Dato’ Haji Hanafiah Mat berkata, projek ini dijalankan secara kaedah reka dan bina, dan kini sedang melalui proses penilaian kontraktor oleh pihak JPS.

“Projek mega itu bertujuan untuk mengurangkan risiko banjir, melindungi nyawa penduduk dan mengelakkan kerosakan terhadap harta benda, terutamanya di kawasan berisiko tinggi sekitar daerah Kemaman.

“Surat setuju terima kepada kontraktor yang berjaya dijadualkan akan dikeluarkan pada Disember 2025, dan projek ini akan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan sepenuhnya, iaitu menjelang tahun 2031,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar dan juga ADUN Chukai berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Sidang DUN Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-15, di Dewan Undangan Negeri, pada hari ini.

Menurutnya, antara komponen utama dalam pelaksanaan projek ini termasuklah pembinaan lencongan banjir, ban, sistem elektrikal dan mekanikal, serta beberapa kerja berkaitan lain bagi memastikan keberkesanan sistem mitigasi banjir secara menyeluruh.

Selain itu, satu sesi Makmal Kajian Nilai akan dijalankan dari 9 hingga 13 Mei 2026 bagi menilai secara terperinci kos, reka bentuk serta keberkesanan teknikal projek sebelum pelaksanaan penuh dimulakan.

Justeru itu, beliau menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan ini yang disifatkan sebagai satu langkah tepat dan bersifat jangka panjang bagi menangani isu banjir yang sekian lama membelenggu penduduk Kemaman, terutamanya ketika musim tengkujuh.