PAS Dominan Kerana Bebas Skandal Moral, Buktikan Kecekapan

470

Oleh: RR

SETIU – PAS berjaya meraih sokongan padu rakyat, khususnya di Terengganu, hasil ketelusan moral yang menjadi kelebihan berbanding parti-parti lain.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, YB Dato’ Dr Azman Ibrahim, semua parti politik pasti berdepan dengan pelbagai cabaran dan krisis kerana ia didokong oleh manusia, namun PAS mempunyai kelebihan kerana bebas daripada skandal moral dan keruntuhan akhlak.

“Semua parti politik ada masalah dan krisisnya, tetapi PAS bebas daripada skandal moral dan keruntuhan akhlak,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata demikian ketika berucap pada program Muktamar Tahunan PAS Kawasan Setiu kali ke-47 yang diadakan di Dewan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, semalam.

Justeru itu, beliau menyeru semua pihak agar bersatu mempertahankan pemerintahan negeri Terengganu.

“Sekarang ini, Perikatan Nasional, PAS dan BERSATU di Terengganu perlu bekerja supaya yang kekal itu lebih kukuh dan yang belum kekal bertukar kepada sokongan kekal.

“Masa kita menang dalam pilihan raya pada tahun 2018 dengan 22 kerusi, ketika itu banyak sokongan yang bersifat sementara. Tetapi pada pilihan raya 2023, apabila kita menyapu bersih kesemua 32 kerusi, sebahagian besar sokongan sementara itu telah bertukar menjadi sokongan kekal,” ujarnya.

Tambah beliau, kekuatan sebenar PAS bukan terletak pada retorik atau janji semata-mata, sebaliknya dinilai melalui tindakan dan prestasi dalam mentadbir negeri dengan cekap serta berintegriti.

“Kita tak perlu jawab dengan kata-kata, tetapi biar tindakan kita berbicara. Lima tahun kita memerintah, dan waktu itulah terbukti kecekapan sistem yang kita bawa,” katanya lagi.

Beliau turut menyentuh sikap sesetengah pihak yang hanya menonjolkan aspek ritual keagamaan seperti tahlil dan solat jenazah tetapi gagal menunjukkan kebolehan dalam aspek pentadbiran.

“Kalau nak harap tahlil orang mati, sembahyang jenazah boleh, tapi nak perintah negeri, kelaut,” katanya sinis.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa mesyuarat agung parti bukan sekadar rutin organisasi, sebaliknya menjadi medan penting untuk memperkukuh struktur jemaah serta menyemarakkan semangat kepimpinan dalam membina masa depan negeri dan negara.

“Sebab itu mesyuarat agung seperti serampang dua mata. Pertama, kita nak perkukuhkan organisasi dan jemaah kita.

“Dan yang kedua, kita nak teguh memimpin negeri Terengganu Darul Iman, sambil meletakkan satu semangat dan jiwa negarawan untuk mentadbir Malaysia suatu hari nanti, insya-Allah,” tambah beliau.