Kekalkan Sokongan Kepada PAS, Tegaskan Perpaduan Melayu Islam

533

SETIU — Ahli dan penyokong diseru agar terus menjaga hubungan baik dengan masyarakat sekeliling, demi memperkukuh sokongan terhadap PAS pada Pilihan Raya umum akan datang.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassm berkata, ia akan menguatkan perjuangan Melayu Islam di negeri dan negara ini.

“Kita perlu jaga orang yang menyokong kita walaupun mereka bukan ahli.

“Libatkan mereka dalam program umum jemaah supaya mereka semakin dekat dengan kita dan terus memberi sokongan,” tegas beliau

Mantan Ahli Majlis Tertinggi Umno itu Demikian ketika menyempurnakan Ucapan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu Kali Ke-47 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Kampung Sungai Tarom pada Sabtu.

Shahidan turut menekankan bahawa kuasa Melayu-Islam di Malaysia perlu dipertahankan melalui perpaduan kerana kedudukan kaum bumiputera adalah majoriti, bukannya minoriti di negara ini.

“Bagi menguatkan kuasa Melayu Islam atau bumiputera, kita mesti bersatu. Jumlah kita majoriti.

“Jadi sebagai pemimpin atau apa sahaja kedudukan kita, usaha untuk bersatu mesti diperkukuh supaya kuasa Melayu Islam terus kuat dan tidak akan mungkin musuh dapat menewaskan kita dengan izin Allah,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan hadirin agar sentiasa menanamkan niat ikhlas dalam setiap kerja buat, supaya apa jua gerak kerja jemaah memperoleh keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Mesyuarat Agung Tahunan kali ini dihadiri lebih 500 perwakilan dari seluruh cawangan di bawah PAS Kawasan Setiu dan berjalan dalam suasana tertib, penuh muafakat dan semangat ukhuwah.