Tragedi Gerik ; Menyerap Pahatan Taqdir Dengan Hati Yang Basah!

466

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Anak- anak muda cerdas dengan guratan wajah yang jernih itu berpapasan dengan keluarga masing- masing di dataran lapang Masjid Hadhari Jerteh, tawa senda mengiringi perpisahan itu dalam euforia gembira. Suasana gembira bagi anak – anak kampus pendidikan itu juga dengan latar hariraya Korban yang memang disambut meriah di daerah agrarian ini yang berjiran dengan Kelantan. Secara puratanya mereka berusia diawal 20an,membuncah dan menggebu semangat untuk meraih sebaik mungkin prestasi akademik. Meninggalkan seketika keluarga tersayang di desa, tidaklah sesayu generasi cendekia Besut dekad tahun 1950an dan 60an. Saat itu guru guru pelatih di Maktab Perguruan Tanjung Malim yang berasal daripada daerah ini akan ke Kelantan terlebih dahulu untuk menaiki keretapi, mereka harapan keluarga dan masyarakat.

Daerah Besut dasawarsa 60an dan 70an mengangkat golongan pendidik sebagai pemimpin masyarakat, bahkan dilantik menjadi anggota legislatif daerah ini. Kelompok guru inilah yang membangunkan masyarakat, menjadi agen reformasi sosial, menyental keluar anak-anak miskin daripada lingkaran ganas kemiskinan. Yang paling penting mereka menjadi harapan agama untuk mengubah kejahilan masyarakat yang masih pekat bersalut dengan amalan animisme seperti main puteri, jamu acok, bertetak serta serba maknika permainan traditional berunsur judi dan khurafat.

Mahasiswa dan mahasiswi kampus pendidikan UPSI ini juga membawa harapan yang sama kepada keluarga dan masyarakat setempat. Besut tersohor di negeri Terengganu melahirkan ilmuan dan kelompok Intelegensia kelas menengah atas negara ini, keropok dan budu yang turut membekalkan protein kepada anak-anak Besut. Lebih 40 orang yang berada di dalam bas yang mereka sewa untuk memudahkan mereka balik ke Besut dan pulang semula ke daerah pemukiman ilmu di Tanjung Malim. Tradisi menyewa bas untuk pulang ke kampong ini telah popular sejak dekad 80an lagi bagi anak anak Besut yang belajar jauh ke luar daerah. Jangan kata belajar di Kuala Lumpur atau kota lain, dekad 1980an, pelajar yang nak pulang ke Besut dari Kuala Terengganu pun sudah biasa menyewa bas untuk pulang diwaktu perayaan. Matlamatnya baik, memudahkan pergerakan terutama pelajar perempuan, terasa lebih selamat kerana mengenali diantara satu sama lain. Biasanya persatuan menganjurkan program pulang ke kampong ini dan ini dapat melatih kepimpinan anak muda untuk berorganisasi, mengeratkan ukhuwwah sesama ahli persatuan pelajar.

Tragedi kemalangan jalanraya mahasiswa UPSI menyeruak terlalu banyak tabir hitam putih kepada tanah watan ini, ianya bukan sekadar kematian pahlawan muda bangsa namun menghidupkan hati yang kontang. Seramai 42 orang pelajar berada didalam bas, sebelum itu mereka berlepas dihadapan masjid Hadhari bandar Jerteh. Tiada siapa menyangka itu adalah perpisahan terakhir mereka, ada ibubapa membekalkan makanan untuk anak-anak tercinta. Bukan sekadar bingkisan nasihat untuk anak-anak muda ini menjaga keselamatan mereka diperantauan, bekalan ketupat, lemang, daging serunding khas Besut. Euforia ceria menutup kisah lambaian terakhir ibubapa dan keluarga pelajar UPSI. Bandar Jerteh adalah saksi bisu puluhan ribu mahasiswa sejak dekad 70an berpapasan dengan keluarga sebelum menaiki bas balik ke pusat pengajian tinggi masing- masing.

Bas berdesut membelah kegelapan malam dengan keadaan jalan yang sibuk meredah bumi kelantan yang memang eidul Adha disambut meriah saban tahun. Bertali arus kenderaan melalui Jalanraya Timur Barat yang naif penyelenggaran, khabarnya mendapat peruntukan untuk penambaikan mutu jalan sejak 2023 namun tanda awasan yang lemah, banyak Kawasan tiada garisan tengah, gulita tanpa pencahayaan dan pelbagai kelemahan. Jangan nak bandingkan dengan mutu jalanraya di negara Eropah, dengan Thailand negara jiran kita pun tertinggal jauh ke belakang.

Jam 1.30 pagi, pahatan taqdir tercatat apabila kemalangan ngeri dalam arah menuruni bukit sebelum Tasik Banding. Suara kesakitan dan erangan dalam kegelapan malam itu akan terus menghantui anak-anak muda yang Allah panjangkan umur. Penulis tersedar jam lima pagi membaca kegemparan dalam pelbagai grup wassap, aroma kesedihan tak terbayang kepada Ibubapa anak-anak muda yang cerdas ini. Relawan – relawan Besut yang diketuai oleh Gaung Amal pada jam 10.00 pagi bergerak ke Hospital Daerah Gerik dengan dibantu dengan iringan polis daerah Besut ke daerah paling hujung di Perak itu untuk mengambil jenazah balik ke Jerteh. Ada juga kenderaan jenazah ke Hospital Tuanku Bainun Ipoh untuk mengambil jenazah untuk pulang ke Besut, segalanya berjalan lancar dengan bantuan pihak keselamatan.

Rakyat Besut sejak jam 8.00 malam telah mulai berhimpun di persekitaran Masjid Hadhari, segalanya bermuara dengan semangat untuk memberikan penghormatan terakhir kepada putera puteri bangsa yang terkorban. Anggota Jabatan Amal Besut mengawal selia dengan baik laluan trafik serta perjalanan program. Pimpinan negeri turut hadir bersama rakyat tempatan, menunggu konvoi van jenazah tiba pada jam 2.50 pagi. Dingin pagi yang mengharukan dengan dianggarkan lebih daripada tiga ribu menyolatkan jenazah dipimpin oleh Exco kerajaan Terengganu, Dr Khalil Abdul Hadi. Solat jenazah kali pertama telah diadakan di bilik pengurusan Jenazah Hospital Gerik, dipimpin oleh Dato’ Ustaz Idris Haji Ahmad, mantan Menteri Agama.

Acara persemadian anak-anak muda ini juga mengheret emosi, airmata yang mengalir bukan tidak meredhai takdir namun itulah sketsa fitrah sebuah kehilangan. Bukan sahaja ditangisi oleh keluarga namun oleh jutaan rakyat negara ini. Kalangan anak-anak muda ini juga, ada penghafaz 30 juzuk Al Quran seperti Adik Mohd Adib Hazim, dikenali sebagai anak muda yang taat beragama oleh masyarakat dan kawan kawan sekampus. Juga paling viral dikalangan yang terkorban ialah adik Nurly Shahirah Azman, yang bukan sekadar menghafaz Al Quran namun jasadnya yang memeluk erat Al Quran semasa kemalangan . Shahirah menulis Al Quran ( tahriri) dan obses dengan apa sahaja yang berkaitan dengan Kalam Allah itu.

Tragedi Gerik memahat luka sejarah, dengan seribu ingatan kepada kita semua bahawa kematian tak mengenal usia. Ceria dengan sedetik suis taqdir berubah menjadi linangan airmata. Juga lihat juga layanan politik sang penguasa, sepatutnya cukai yang dikutip diagihkan dengan adil untuk kemudahan rakyat. Jalanraya Timur Barat yang meratah nyawa untuk disiapkan dizaman ancaman komunis rupanya terus meratah nyawa rakyat, seperti denai babi dengan seribu satu perangkap. Kepada sang penguasa dungu, lihatlah derita ini, jangan tunggu familimu menggeletak nyawa di aspal cap ayam ini barulah terdetik untuk membaiki jalanraya ini.,Sejujurnya, pembangunan wilayah kita yang sangat tempang, Pulau Pinang dengan 17.3 Billion untuk prasarana namun akses ke Kelantan disepikan walaupun pengumuman sejak 2023 telah diwar warkan,ternyata pemimpin negara kita adalah jaguh podium yang mengecewakan rakyat!

( Penulis ialah AJK PAS Pusat dan, ADUN Jerteh)