KEMAMAN – Seluruh ahli Muslimat diseru agar bangkit memperkukuhkan saf perjuangan bagi mempertahankan kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, Himpunan Muslimat yang diadakan ini bertujuan membangkitkan gelombang sokongan rakyat, khususnya golongan wanita Islam, agar terus bersama wadah perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.
“Muslimat adalah panggilan Allah kepada semua wanita Islam, tidak kira muda atau tua. Kita adalah penyambung perjuangan Rasulullah SAW yang perlu diteruskan dalam satu hati, satu fikrah, dan satu tindakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Himpunan Muslimat PAS Terengganu, di sini, pada Jumaat.


Zarani menegaskan bahawa Muslimat bukan sekadar pendokong, tetapi merupakan mata rantai perjuangan Islam dan agen penyebar maklumat kepada masyarakat tentang dasar serta program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
“Ramai rakyat di peringkat bawah masih tidak mengetahui usaha yang dilakukan kerajaan.
“Maka tugas kita adalah untuk menerangkan dan menyampaikan dasar ini secara hikmah kepada seluruh rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan pentingnya Muslimat mempersiapkan jentera pilihan raya dengan strategi yang mantap, termasuk memperkasakan gerak kerja dalaman dan memperluas dakwah di seluruh negeri, dari Besut hingga ke Kemaman.
“Perjuangan ini bukan mudah. Ia dipenuhi ujian dan cabaran, namun kita yakin dengan janji Allah. Jika kita ikhlas dan bekerja bersungguh-sungguh, insya-Allah ganjaran syurga menanti,” ujarnya penuh semangat.




























