PAS Bukan Parti Kampung

398

KEMAMAN – PAS bukan lagi sebuah parti kampung, sebaliknya kini mendapat dokongan pelbagai pihak di peringkat nasional.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Che Hamid berkata, kepercayaan rakyat terhadap PAS, khususnya di Terengganu, semakin kukuh dan parti itu dilihat sebagai satu-satunya harapan masyarakat pada hari ini.

“Kita yakin PAS adalah parti yang akan terus membela dan mempertahankan kesucian Islam serta menjaga kepentingan rakyat secara keseluruhan – baik dalam kalangan orang Melayu, masyarakat Islam mahupun kaum-kaum lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sebuah program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di sini, semalam.

Alias turut mengingatkan ahli-ahli parti agar terus istiqamah dan menunjukkan komitmen tinggi dalam menghadiri setiap program yang dianjurkan.

“Perkara paling penting ialah kehadiran dan penglibatan kita dalam setiap program.

“Inilah medan untuk kita tunjukkan kesatuan dan kekuatan jemaah,” ujar beliau.