Teruskan Tuisyen Rakyat Usaha Pastikan Anak Terengganu Kekal Cemerlang

417

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS negeri Terengganu akan meneruskan Tuisyen Rakyat Sejahtera sebagai satu inisiatif serta agenda bagi memastikan anak Terengganu terus mencatatkan keputusan cemerlang di dalam peperiksaan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata ia akan berjalan seperti biasa di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagaimana tahun-tahun sebelum ini.

“Dimana pada tahun ini kita rebranding kalau tahun sebelum ini dikenali sebagai Tuisyen Rakyat namun tahun ini kita namakan sebagai Tuisyen Rakyat Sejahtera ia akan melibatkan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat dan kita hanya ada tempoh beberapa hari sahaja untuk sampai ke bulan Disember.

“Jadi bulan November ini akan bermula di setiap DUN cuma pada tahun ini kita tambah satu lagi iaitu pelajar yang mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk setiap daerah satu.

“Bagi memastikan kita dapat menganjurkan program khusus bagi peningkatan dan hasrat kita supaya anak-anak Terengganu ini akan terus dapat mengekalkan kecemerlangan sebagaimana sebelum ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu menjawab mengenai kemungkinan berlaku banjir di waktu peperiksaan SPM pada Disember ini, Satiful berkata kerajaan negeri bersiap siaga menghadapi bencana itu yang sinonim berlaku di Terengganu setiap hujung tahun.

“Kita buat persiapan sebaik mungkin memandangkan beberapa negeri lain seperti di Kedah, Pahang dan Johor telah mengalami banjir.

“Jadi yang terbaru melanda melibatkan sekolah Al-Falah di Kemaman, kita akan ambil tindakan akan cuba yang terbaik bagi memastikan keadaan itu tidak akan menggangu proses pengajian pelajar kita,” ujarnya.

Tambah beliau, beberapa alternatif juga telah dipersiapkan terutama di Sekolah Mahmudian (Kuala Berang), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) di Hulu Terengganu serta beberapa sekolah yang sering dinaiki air diberikan perhatian agar SPM akan dapat diteruskan nanti.

“Biasanya kita akan menyediakan beberapa pusat alternatif baru supaya pelajar dapat mengambil peperiksaan seperti tahun lalu apabila berlakunya bencana banjir kita memindahkan pelajar ke Sekolah Menengah Khairiah,” jelas beliau.