Anggota-anggota pembangkang menuduh Presiden Bashar al-Assad hanya bersetuju dengan rancangan itu semata-mata bagi melambat-lambatkan waktu, sedang askar-askar beliau terus menyerang dan membunuh para penentangnya.
Malah, konflik itu semakin teruk.
PBB berkata perangkaan kematian akibat pertempuran antara kededua pihak itu kini mencapai lebih 9,000 orang, dengan tiada tanda ia akan berakhir.
Pengumuman Encik Annan, kelmarin, bahawa Syria sudah menerima rancangan damainya itu diterima dengan penuh keraguan.
‘Kami tidak pasti jika ia satu percaturan politik atau satu tindakan jujur,’ kata Encik Louay Safi, seorang anggota Majlis Kebangsaan Syria (SNC) yang menentang Encik Assad.
‘Kami tidak percaya terhadap rejim sekarang… Kami akan melihat jika mereka berhenti membunuh orang awam,’ tambahnya.
Rancangan Encik Annan itu menggesa dihentikan segera pertempuran selama dua jam bagi membolehkan pasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan masuk dan melakukan pemindahan warga Syria.
Rancangan itu juga menggariskan gencatan senjata sepenuhnya tetapi akan mengambil masa lebih lama kerana Syria harus dahulu mengundurkan tentera dan peralatannya keluar dari bandar-bandar, askar pemerintah dan pihak pembangkang harus berhenti bertempur dan satu misi yang diselia oleh PBB harus diadakan.
Bagaimanapun, tentera Syria yang dilengkapkan dengan kereta kebal semalam terus menyerang bandar Qalaat al-Madiq dan kampung berdekatan selepas melakukan serbuan yang berjalan lebih dua minggu, kata kumpulan hak asasi, Syrian Observatory for Human Rights.
Damsyik juga akan menolak sebarang inisiatif Liga Arab bagi menamatkan krisis di Syria, kata jurucakap kementerian luarnya, semalam, menjelang sidang Arab di Iraq minggu ini. — AP, AFP.





























