Umno Juga Gembira Bila Tol Dihapuskan

1776

Pada saat tol Jambatan Sultan Mahmud dihapuskan, bukan sahaja ahli dan penyokong PAS yang gembira, malah ahli dan penyokong Umno turut tumpang ‘lega’ kerana tidak perlu membayar RM1 bagi perjalanan pergi dan balik dari bandar Kuala Terengganu.

Persetujuan yang tidak tersurat Umno dan Barisan Nasional Terengganu dengan penghapusan  tol Jambatan Sultan Mahmud dilihat dengan tidak menguatkuasakan semula tol tersebut apabila mereka mengambil alih pemerintahan pada tahun 2004.

[Gambar – Pengguna jambatan Sultan Mahmud kini bebas meluncur tanpa kutipan tol, jasa kerajaan PAS Terengganu yang memerintah tahun 1999 – 2004]

Tindakan kerajaan Umno dan Barisan Nasional pusat menghapuskan bayaran tol RM 1 di Plaza Tol Batu 9 menghala Kuala Lumpur dan 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala Kajang menunjukkan bahawa kerajaan sebenarnya mampu untuk menghapuskan tol di negara ini jika berbuat demikian.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan kerajaan ini membuktikan bahawa kerajaan tidak rugi sekiranya tol-tol di negara ini dihapuskan sebagaimana dakwaan pemimpin mereka sebelum ini.

Ini juga membuktikan bahawa perjuangan Pakatan Rakyat selama ini yang berusaha menghapuskan tol di negara ini sebenarnya adalah benar dan tidak sia-sia.

Janji di dalam Buku Jingga bukanlah suatu retorik atau janji palsu, tetapi merupakan realiti yang mampu dilakukan sekiranya kerajaan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Namun demikian, DPPM merasa kesal kerana kerajaan tidak bersedia menghapuskan bayaran tol secara keseluruhan di kawasan terbabit. Pengurangan sebanyak 50 peratus dianggap sebagai suatu kejayaan besar kepada negara dengan publisiti meluas seolah-olah mereka telah mendapat kemenangan yang dramatik.

Hakikatnya pencapaian kerajaan tidaklah boleh dibanggakan sangat memandangkan mereka hanya mampu mengurangkan bayaran sebanyak 50 peratus. Itupun keputusan ini diambil setelah bertahun-tahun lamanya pengguna lebuh raya di kawasan terbabit menanggung bebanan membayar tol.

Sedangkan Pakatan Rakyat (PR) telah berjanji sekiranya PR memenangi Putrajaya dalam PRU ke 13 nanti, keseluruhan kadar tol di kawasan terbabit malah di seluruh negara akan dihapuskan. Malah, PR telah mengkaji implikasi terhadap syarikat konsesi tol dan merasa yakin, tol secara keseluruhannya mampu untuk dihapuskan.

DPPM melihat sendiri bagaimana sorakan ahli dan pemimpin UMNO apabila tol di kawasan tersebut diumumkan dihapuskan semalam. Ia bererti ahli dan pemimpin UMNO sendiri bersetuju bahawa tol adalah suatu bebanan kepada rakyat dan bergembira apabila tol dihapuskan atau dikurangkan. Jika demikian, sudah tentu mereka akan merasa lebih puas jika Pakatan Rakyat pula yang telah berjanji sekarang akan menghapuskannya apabila mendapat mandat kerajaan kelak.

Oleh itu, DPPM mencabar kerajaan supaya mengkaji balik semua perjanjian dengan syarikat konsesi tol dan mengumumkan kepada rakyat bila untuk dihapuskan tol di kesemua lebuhraya secara berperingkat. Jika tidak, mereka dianggap masih gagal menambat hati rakyat serta tidak mampu
menandingi kemampuan Pakatan Rakyat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

*** Tulisan yang disunting dari kenyataan asal Ustaz Ridhuan Mohd Nor, Ketua Penerangan DPPM