Menurut laporan media Iran, Stone, 27 tahun, seorang penerbit dokumentari, telah memeluk Islam pada Selasa lalu dalam satu upacara di bandar Isfahan.
Nama Islamnya ialah Ali.
Stone telah ke Iran untuk menghasilkan filem mengenai Rumi, seorang penyajak mistik Parsi yang hidup dalam kurun ke-13.
Beliau merancang bekerjasama dengan penerbit filem Iran.
‘Adalah satu kesilapan untuk percaya bahawa Islam bersikap antagonis terhadap agama Kristian dan Yahudi. Apa yang kita perlukan ialah saling memahami fahaman masing-masing dan mewujudkan satu dialog,’ kata beliau kepada agensi berita Iran, Isna.
Apabila ditanya bagaimana berita tentang dirinya memeluk agama Islam akan dilaporkan di Amerika, Stone berkata beliau bukan seorang yang terkenal di tanah airnya dan lantas kehidupannya tidak akan berubah.
‘Perkara paling penting ialah saya berharap akan dapat membantu rakyat Amerika memahami apa itu Islam yang sebenar.
‘Saya rasa nikmat apabila memasuki masjid. Saya percaya Tuhan itu satu dan dengan pandangan ini, adalah tidak penting jika anda seorang Muslim, Kristian atau Yahudi,’ katanya.
Media Iran telah memberikan liputan meluas mengenai langkah Stone memeluk Islam.
Khamis lalu, Stone telah menerima anugerah dari Kementerian Kebudayaan Iran sempena berakhirnya pesta filem antarabangsa Fajr, di Teheran.
Menyentuh mengenai tekanan yang dikenakan masyarakat antarabangsa berkaitan program nuklear Iran, Stone berkata cara terbaik bagi negara itu mengatasinya ialah untuk tidak melihat ke Barat.
‘Tumpukan perhatian kepada rantau timur dan bekerjasama dengan sekutunya seperti China. Cuba mengindustrikan negara dan rancakkan semula ekonomi,’ kata Stone.
Amerika dan sekutunya mengesyaki Iran sedang cuba menghasilkan senjata nuklear walaupun negara itu beberapa kali menegaskan aktiviti pengayaan uranium yang dijalankan adalah bagi menghasilkan bekalan elektrik.
Jumaat lalu, Amerika dan Kesatuan Eropah (EU) melahirkan rasa optimistik bahawa Iran mungkin bersedia mengadakan rundingan baru dengan negara kuasa besar dunia berkaitan isu nuklearnya. — Reuters.

























