Terengganu, Malaysia

Thailand iktiraf Palestin Menurut Sempadan Sebelum Perang 1967

Thailand telah ‘mengiktiraf secara rasmi negara Palestin dan secara rasmi memberitahu semua misi-misi kekal dan pemerhati ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York mengenai perkembangan ini,’ kata pegawai akhbar bagi misi Thailand.

Di Ramallah, seorang pegawai kementerian luar Palestin memberitahu agensi berita AFP bahawa Thailand mengiktiraf negara itu mengikut garis-garis yang wujud sebelum Perang Enam Hari pada 1967.

‘Pengiktirafan Thailand mengenai sebuah negara Palestin adalah yang pertama pada Tahun Baru 2012 dan adalah satu pencapaian baru bagi diplomasi Palestin,’ kata Menteri Luar Palestin, Encik Riyad al-Maliki, kepada agensi berita rasmi WAFA.

Encik Maliki berkata dengan pengumuman itu, sejumlah 131 negara mengiktiraf sebuah negara Palestin mengikut garis-garis yang ditentukan pada 1967.

Thailand mengiktiraf Israel pada 1954 dan menjalin hubungan baik dengan negara Yahudi itu sejak itu.

Negara Asia Tenggara itu adalah destinasi pelancongan utama rakyat Israel dan kedua-dua negara itu mempunyai kerjasama dalam bidang pertanian dan beberapa bidang lain.

Presiden Palestin, Encik Mahmud Abbas, dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Thailand kerana langkah itu dan berkata bahawa prosedur-prosedur akan dilaksanakan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Thailand.

‘Presiden Mahmud Abbas mengucapkan terima kasih kepada raja dan kerajaan Thailand kerana pengiktirafan rasminya tentang sebuah negara Palestin,’ kata Encik Abbas dalam kenyataan itu.

Rakyat Palestin sedang cuba meningkatkan pengiktirafan antarabangsa mereka kerana rundingannya dengan Israel masih terbantut berhubung dengan isu pembinaan petempatan Israel di Tebing Barat.

Tahun lalu, mereka telah menerima pengiktirafan daripada beberapa negara serta keanggotaan dalam agensi kebudayaan PBB, Unesco.

Palestin juga telah melahirkan hasratnya menjadi anggota penuh PBB tetapi Washington mengancam untuk veto rancangan tersebut, sambil menggesa agar Palestin mengadakan terdahulu satu rundingan dengan Israel.

Amerika Syarikat berkata hanya satu huraian politik dengan Israel yang boleh membawa ke arah wujudnya sebuah negara Palestin. — AFP.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan