Peranan Besar Cawangan Kepada Parti PAS

1437

Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU –Jangan memperlekehkan peranan besar yang dimainkan oleh cawangan yang merupakan entiti penting yang menggerak dan menguatkan Parti Islam Se-Malaysia(PAS) dalam menghadapi Piliharaya Umum ke-15 (PRU 15) yang akan datang.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menegur sesetengah pihak yang berasa rendah diri memegang jawatan di peringkat tersebut.

“Kadang-kadang kita rasa sembarangan sahaja kita duduk di peringkat cawangan, kita perlu memahami bahawa di peringkat cawanganlah ‘grass root’ yang paling penting kerana ia merupakan akar”, katanya.

Penolong Setiausaha I, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPPNT) itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Cawangan Kampung Bukit Depu yang diadakan di Markas PAS Kampung Bukit Depu di sini pada 3 Februari.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said.

Tambahnya, sama seperti bangunan atau binaan yang hebat, ia tidak akan terbina tanpa pasir-pasir yang halus dan paku-paku yang kecil.

” Peranan yang dimainkan samada di peringkat pimpinan mahupun ahli adalah sama penting kerana semuanya bermatlamatkan untuk memperjuangkan Islam,” jelasnya di hadapan seramai 60 orang perwakilan dan pemerhati yang hadir.

Disamping itu, Khalil turut mengingatkan kepentingan wala’ (patuh) kepada kepimpinan.

“Bila seseorang itu bekerja dengan sebuah syarikat, dia perlu ikut disiplin dan peraturan-peraturan syarikat tersebut. Sama juga seperti kita dalam parti.

“Kita ahli PAS, bila ada sesuatu ijtihad daripada pimpinan, dan apabila ijtihad itu menjadi satu keputusan, maka kita perlu wala’ (patuh) kepada keputusan itu”.

“Saya yakin dan percaya strategi Muafakat Nasional ini akan menguntungkan PAS kerana sepanjang sejarah, strategi yang dibuat oleh PAS, semuanya menguntungkan PAS”, katanya optimis.